suria

Kepulauan Solomon Berminat Jadi Pusat Proses Pelarian

MELBOURNE: Beberapa negara Pasifik Selatan, termasuk Kepulauan Solomon, menawarkan diri kepada kerajaan Australia untuk menjadi pusat memproses pemohon suaka politik.

Sumber kanan kerajaan Australia dilaporkan memberitahu akhbar di negara itu bahawa beberapa negara di rantau Pasifik berminat menjadi hos bagi memproses pelarian seperti yang ditubuhkan kerajaan sebelum ini di Nauru dan Papua New Guinea.

Difahamkan, kepulauan itu berbuat demikian selepas usaha Perdana Menteri Australia Julia Gillard menyelesaikan masalah di Timor Leste gagal.

Bagaimanapun, seorang jurucakap bagi Menteri Imigresen Chris Bowen berkata kerajaan Australia tidak berhasrat berbincang mengenai pusat pelarian dengan Kepulauan Solomon.

"Fokus kami ialah Malaysia dan Papua New Guinea," beliau dipetik akhbar Australia sebagai berkata.

"Namun begitu, seperti yang dinyatakan sebelum ini, kami akan bekerjasama dengan negara di rantau ini berhubung proses Bali dan rangka kerja bagi usaha sama serantau," katanya.

Australia mempunyai kira-kira 80 anggota tentera di Kepulauan Solomon, selain polis dan penjawat awam sebagai sebahagian daripada misi multinasional bagi menjaga keamanan serta membina semula tadbir urus.

Berikutan tawaran Kepulauan Solomon itu, sesetengah pihak dalam kerajaan Australia dikatakan kembali mengkaji kemungkinan negara itu menjadi sebahagian penyelesaian bagi usaha memproses pemohon suaka politik.

Mengikut satu cadangan, Australia akan menghantar 800 pemohon suaka politik ke Malaysia untuk dinilai dan sebagai pertukaran, negara itu bakal mengambil 4,000 pelarian dalam tempoh empat tahun akan datang.

Bowen sebelum ini menyifatkan cadangan Malaysia sebagai model yang mungkin boleh dicontohi negara lain di rantau ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain