suria

Sempadan Rafah Dijangka Buka Bulan Depan

KAHERAH: Rakyat Malaysia boleh melawat Semenanjung Gaza menerusi Mesir apabila pihak berkuasa republik ini dijadual membuka semula sempadan Rafah bulan depan.

Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Datuk Mohd Khalid Harun berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh wakil pengusaha pelancongan Mesir, Pengerusi Star Gold Travel Mohamed El Banna, pada pertemuan di sini.

"Ini adalah peluang buat rakyat Malaysia untuk mengunjungi Baitulmuqaddis. Bagi yang menunaikan Umrah, mereka boleh gunakan peluang ini untuk menziarah ke sana.

"Mereka yang beragama Kristian juga boleh berbuat demikian," katanya kepada media Malaysia disini, pada penghujung lawatan Matta ke Mesir.

Baitulmuqaddis adalah sebuah kota suci bagi penganut Islam, Kristian dan Yahudi.

Mohd Khalid mengetuai delegasi 28 pengusaha pelancongan Malaysia ke Mesir selama tujuh hari sejak 6 Mei bagi melihat sendiri keadaan di negara ini selepas revolusi meletus pada 25 Januari lepas.

Mohd Khalid berkata dengan pembukaan sempadan ke Gaza, beliau menjangka banyak pengusaha pelancongan Malaysia akan mengadakan pakej lawatan ke Mesir.

Sebelum ini hanya Jordan yang menawarkan peluang mengunjungi Gaza dari negara itu, katanya.

Menurutnya hasil lawatan ke Mesir, Matta dapati banyak peluang kerjasama pelancongan boleh dijalin dengan pengusaha pelancongan negara ini yang boleh memanfaatkan kedua-dua negara.

"Kami juga sempat mempromosikan Malaysia kepada pengusaha pelancongan Mesir dalam usaha menarik rakyatnya ke negara kita. Bayangkan pulangan yang akan boleh perolehi jika 10 peratus daripada rakyatnya yang berpendapatan sederhana melawat Malaysia," katanya.

Mesir mempunyai 82 juta penduduk dan kira-kira separuh daripadanya berpendapatan sederhana.

Sementara itu Mohd Khalid berkata Matta juga akan mengadakan lawatan ke Jepun Julai ini bagi melihat keadaan negara itu dalam usaha menyalurkan maklumat kepada pelancong Malaysia yang berhasrat ke negara yang dilanda gempa bumi kuat dan tsunami pada 11 Mac lepas.

"Kami sedang menunggu maklum balas Japan National Tourism Organisation mengenai lawatan Matta ke Jepun. Ini penting bagi pengusaha-pengusaha pelancongan Malaysia kerana banyak pakej pelancongan ke negara itu dibatalkan selepas bencana itu berlaku.

"Dengan lawatan ini, Matta berharap untuk mendapat maklumat sebenar mengenai sektor pelancongan di negara itu," katanya.

Menurutnya Matta juga menerima jemputan daripada persatuan pengusaha pelancongan Turki, China, Kemboja, Republik Czech dan Uzbekistan untuk mengadakan kerjasama pelancongan dua hala.

Sementara itu, Mohd Khalid berkata Matta akan mencadangkan kepada Kementerian Pelancongan supaya memperkenalkan "Exit Card" untuk rakyat Malaysia yang ke luar negara dalam usaha mendapatkan maklumat sebenarnya bilangan rakyat yang mengunjungi sesebuah negara.

"Dari segi statistik, kita tidak ada fakta yang tepat mengenai bilangan rakyat Malaysia ke sesebuah negara. Dengan adanya Exit Card, kita boleh ketahui jumlahnya dan ini boleh dijadikan sebagai pangkalan data," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain