suria

Mesir Masih Minat Buka Pejabat Di Kuala Lumpur

BERLIN: Mesir masih berminat membuka pejabat pengalakkan pelancongan rasmi di Kuala Lumpur memandangkan Malaysia merupakan antara sumber utama pelancongan untuk negara itu.

Hasrat untuk membuka pejabat berkenaan telah dinyatakan ketua delegasi negara itu, Hisham Zaazou semasa Pameran Pelancongan Antarabangsa (ITB) Berlin edisi Asia di Singapura pada Oktober 2010.

Bagaimanapun rancangan untuk membuka pejabat di Kuala Lumpur itu terjejas setelah timbul beberapa isu lain yang melibatkan kepentingan negara tersebut.

Pada Januari tahun ini, Mesir berdepan dengan kemelut apabila kumpulan penunjuk perasaan mahu bekas Presiden Hosni Mubarak dan ahli politik yang mempunyai kaitan dengannya melepaskan jawatan.

Bagaimanapun, pada pameran ITB yang sedang berlangsung di Berlin, Menteri Pelancongan Mesir Mounir Fakry Abdel Nour, yang baru dua minggu menjawat jawatan itu, memberi jaminan yang "semua komitmen dibuat Mesir akan dipenuhi".

Hisham Zaazou, penolong pertama menteri pelancongan memberitahu Bernama Jumaat di ITB yang negaranya yakin pejabat di Kuala Lumpur akan "dibuka tidak lama lagi", walaupun banyak pakar Mesir di ITB menjangka pilihan antara Singapura, yang turut disebut-sebut dan Kuala Lumpur sebagai tempat pejabat pelancongan Mesir sebagai "saranan kukuh".

Zaazou berkata: "kami perlu menyelesaikan beberapa perkara sebelum melaksanakan keputusan itu".

Asia Tenggara termasuk Malaysia, merupakan sumber penting pelancongan bagi Mesir.

Mesir, yang ekonominya, amat bergantung kepada pelancongan, mendapat perhatian di ITB.

Messe Berlin GmbH, yang menganjurkan ITB di Berlin, akan menjadi hos kepada Mesir sebagai "rakan kongsi negara" pada 2012.

"Keadaan di Mesir kembali seperti biasa dan industri kembali pulih," katanya.

Satu daripada komponen utama strategi pelancongan Mesir ialah untuk mewujudkan "hotel mesra alam" dan pelabur Malaysia juga boleh meninjau peluang pelaburan dalam industri pelancongan Mesir itu.

Mesir menerima 14.7 juta pelancong pada 2010, pertumbuhan 17 peratus berbanding 2009, demikian menurut menteri itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain