suria

Letupan Hidrogen Kedua, Tiada Amaran Tsunami

SOMA (Japan): Letupan hidrogen kedua dalam tempoh tiga hari menggegarkan loji jana kuasa nuklear Fukushima Dai-ichi pada Isnin, mengakibatkan kepulan asap tebal ke udara dan mencederakan enam pekerja.

Tidak dapat dipastikan tahap radiasi yang terbebas ekoran letupan berkenaan.

Pihak berkuasa ketika ini sedang berusaha menyejukkan Unit 3 loji berkenaan ekoran kegagalan sistemnya selepas gempa bumi kuat dan tsunami melanda utara Jepun dan mengarahkan penduduk di kawasan sekitar supaya tidak keluar dari rumah,kata Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano.

Letupan berkenaan diikuti letupan yang sama pada Sabtu yang melibatkan Unit 1 loji itu, mencederakan empat pekerja selain memaksa penduduk dipindahkan ke kawasan lebih selamat secara besar-besaran.

Ryohei Shomi dari Agensi Keselamatan Nuklear Jepun berkata, enam pekerja cedera pada kejadian letupan itu namun tidak dapat dipastikan tahap kesan radiasi terhadap mereka.

Sebelum itu, Tokyo Electric Power Co. yang merupakan operator loji terbabit memberitahu, tiga pekerja cedera manakala tujuh lagi hilang.

Lebih 180,000 orang dipindahkan dari kawasan berkenaan dan lebih 160 terdedah kepada kesan radiasi.

Awal pagi Isnin, tekanan meningkat di Unit 3 berkenaan yang menyebabkan 21 pekerja terpaksa dipindahkan sebelum mereka kembali selepas keadaan kembali normal.

Artikel Sebelum

Artikel Lain