suria

Singapura Hantar Pasukan Dan Anjing Penyelamat Ke Jepun

SINGAPURA: Singapura akan menghantar sepasukan anggota dan lima anjing penyelamat ke Jepun bagi membantu operasi mencari dan menyelamat di negara Matahari Terbit yang mengalami kemusnahan di merata tempat ekoran gempa bumi kuat dan tsunami Jumaat.

Menurut satu kenyataan Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura, pasukan itu digerakkan atas permintaan kerajaan Jepun.

Dalam perkembangan berkaitan, pemimpin Singapura mengucapkan takziah kepada pemimpin Jepun berikutan kejadian gempa bumi kuat berukuran 8.9 pada skala Richter dan mengakibatkan tsunami setinggi 10 meter yang melanda negara itu tengah hari Jumaat.

Dalam ucapan takziah kepada Maharaja Akihito, Presiden S. R. Nathan berkata beliau berasa sedih dengan tragedi yang melanda wilayah Tohoku, sehingga lebih 1,000 orang dikhuatiri maut dan kemusnahan besar harta benda.

Melahirkan simpati yang amat dalam negara republik itu, Nathan berkata rasa dukacita turut dirasai Singapura terhadap apa yang dialami Maharaja Jepun dan rakyatnya dalam keadaan sukar itu.

Presiden Singapura itu melahirkan keyakinan Jepun akan dapat mengatasi masalah itu dengan tabah dan semangat tinggi.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong yang turut mengucapkan simpati berkata beliau amat sedih dengan kehilangan nyawa dan kemusnahan akibat gempa bumi dan tsunami yang melanda timur Jepun.

Dalam suratnya kepada Perdana Menteri Jepun Naoto Kan, Lee berkata kerajaan Jepun dan rakyat negara itu bertindak pantas dan bersemangat teguh menghadapi musibah itu.

Beliau yakin dengan keupayaan kepimpinan Kan, Jepun akan pulih daripada bencana buruk itu.

"Singapura sentiasa bersedia membantu sedaya upaya yang boleh," kata Lee. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain