suria

Air China Beli 5 Boeing 747 Yang Baru

SHANGHAI: Air China mengumumkan semalam bahawa ia telah mencapai persetujuan dengan Boeing untuk membeli lima pesawat baru 747-8 pada harga AS$1.54 bilion.

Syarikat penerbangan milik Republik Rakyat China itu memaklumkan bahawa tempahan mereka akan tiba pada tahun 2014-2015.

Menurut syarikat itu lagi, pembelian baru ini akan memperkukuhkan kapasiti pesawat mereka sebanyak 6.6 peratus lagi.

Buat masa ini, Air China memiliki 381 pesawat yang sedang beroperasi.

Tempahan terbaru dari Air China ini bermakna, Boeing telah menerima 112 tempahan untuk pesawat 747-8 barunya itu.

China berhasrat untuk melabur sehingga AS$230 bilion dalam industri penerbangannya dalam tempoh lima tahun dari sekarang untuk memenuhi permintaan pasaran, kata Li Jiaxiang, Ketua Jabatan Penerbangan Awam China, bulan lalu.

Malah China bercadang untuk mengembangkan rangkaian pesawatnya kepada 4,500 pesawat komersial menjelang 2015 daripada 2,600 pesawat sedia ada sekarang. Negara itu juga bercadang untuk mewujudkan 220 buah lapangan terbang komersial di seluruh negara daripada 175 lapangan terbang sekarang.

Air China merupakan syarikat penerbangan yang ketiga yang menandatangani perjanjian untuk membeli pesawat baru Boeing 747-8 Intercontinental, selepas Jerman Lufthansa yang telah menempah 20 buah pesawat berkenaan pada tahun 2006 dan Korean Air pada lewat 2009.

Air China juga kini merupakan salah sebuah syarikat penerbangan terbesar dunia dan paling pesat berkembang.

Boeing hanya memperkenalkan versi baru 747-8 Intercontinental untuk tatapan umum pada Februari lalu. Penghantaran pertamanya akan dilakukan pada penghujung tahun ini.

Pesawat jumbo itu hampir enam meter (20 kaki) lebih panjang daripada versi 747-400 sedia ada sekarang dan akan menggunakan enjin General Electric yang turut digunakan untuk pesawat 787 Dreamliner.

747-8 ini mampu memuatkan sehingga 467 penumpang berbanding 416 penumpang untuk Boeing 747 versi lama. Namun begitu ia masih belum dapat menandingi kapasiti 550 penumpang yang ditawarkan oleh Airbus A380 - iaitu pesawat penumpang terbesar dunia.

Artikel Lain