suria

55,000 Pulang Ke Rumah Selepas Amaran Tsunami di Filipina

MANILA: Lebih 55,000 penduduk pulang ke rumah masing-masing di sepanjang persisir pantai timur Filipina pada Sabtu setelah amaran tsunami ekoran bencana gempa bumi di Jepun berakhir.

Kerajaan mengarahkan seluruh kawasan itu dikosongkan pada Jumaat setelah gempa bermagnitud 8.9 pada skala Richter melanda Jepun dan mencetuskan amaran di seluruh rantau Pasifik.

Pengarah Eksekutif Majlis Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan, Benito Ramos berkata, penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas bermalam di pusat perlindungan, tetapi menasihati mereka agar menjauhi persisir pantai.

"Trend ketinggian ombak yang dipantau mencadangkan kemungkinan bahaya tsunami telah berakhir," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut majlis itu, seramai 55,335 orang telah dipindahkan dalam waktu singkat sebagai tempoh berjaga-jaga.

Ombak tsunami kecil melanda negara itu pada awal pagi, tetapi tidak mengakibatkan sebarang kerosakan atau kecelakaan. - AP

Artikel Sebelum

Artikel Lain