suria

Dua Terbunuh Bila Polis Gempur Kumpulan Demo di Bahrain

MANAMA: Dua orang telah dilaporkan terbunuh apabila pasukan polis pencegah rusuhan mengempur Medan Mutiara pada awal pagi Khamis dalam usaha untuk menyuraikan demonstrasi yang semakin membara di sini.

Pasukan polis berkenaan telah melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah para demonstrator dan menurut para saksi selain daripada dua mangsa yang dikatakan meninggal dunia, lebih 70 lagi dilaporkan tercedera.

Mereka mengempur medan berkenaan pada lebih kurang jam 3 pagi (waktu tempatan) yang menyaksikan beratus demonstrator sedang berkhemah atau bermalam di situ kata seorang saksi, Fadel Ahmad, 37.

Pihak berkuasa Bahrain berkata mereka tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa mengempur medan tersebut kerana “segala dialog dan perbincangan tidak membawa sebarang perkembangan positif.”

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Jeneral Tarek al-Hassan dipetik sebagai berkata, pihak polis tidak mempunyai banyak pilihan melainkan mengempur kawasan tersebut kerana masih ada yang enggan mendengar nasihat dan terus berkhemah di situ.

Para demonstrator yang mendapat inspirasi dari keajaiban kuasa rakyat di Tunisia dan Mesir terus menerus menduduki Medan Mutiara di tengah-tengah bandar ini sejak Selasa.

Dua orang yang terbunuh itu dikenali sebagai Mahmoud Makki Ali, 22, dan Ali Mansour Ahmad Khoder, 52.

Kematian ini menjadikan mangsa korban demonstrasi di Bahrain meningkat kepada empat orang sejak demo bermula Isnin baru-baru ini.

Mereka yang berdemonstrasi kini menamakan Medan Mutiara sebagai Medan Tahrir (yang bermaksud kebebasan).

Kumpulan terbesar pembangkang Syiah di Bahrain, INAA, yang mempunyai 18 orang ahli parlimen dalam Dewan Rakyat akan terus memboikot sidang parlimen sehingga negara itu bertukar kepada sistem raja berperlembagaan.

Dewan Rakyat Bahrain mempunyai 40 buah kerusi.

INAA juga turut menuntut agar sistem pelantikan perdana menteri ditentukan oleh kuasa rakyat dan bukannya raja sepertimana amalan sekarang.

Dalam pada itu Amerika Syarikat sedang mengikuti perkembangan di Bahrain dengan penuh serius memandangkan ia memiliki pangkalan tentera di negara itu yang berfungsi sebagai ibu pejabat kepada pergerakan tenteranya di Asia Barat.

Artikel Lain