suria

Ahmad Zahid Ketuai Delegasi Malaysia Ke IDEX 2011

ABU DHABI: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid mengetuai delegasi Malaysia ke Pameran dan Persidangan Antarabangsa (IDEX) 2011 yang bermula di sini pada Ahad.

Sembilan entiti pertahanan dan keselamatan Malaysia menyertai acara itu di Abu Dhabi National Exhibition Centre di bawah naungan Presiden Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Khalifa Bin Zayed Al Nahyan.

Entiti berkenaan ialah Airod Sdn Bhd, Airod Techno Power Sdn Bhd, Aerospace Technology Systems Corp. Sdn Bhd, SME Ordnance Sdn Bhd, SME Aerospace Sdn Bhd, DSA Exhibition and Conference Sdn Bhd, Weststar LDV Sdn Bhd dan Malaysian Defence and Security Technology Park.

Pameran lima hari itu juga disertai Majlis Industri Malaysia bagi Industri, Penguatkuasaan dan Keselamatan (MIDES).

Ahmad Zahid dijangka mengadakan perjumpaan dengan beberapa tokoh penting semasa berlangsungnya acara itu, yang disertai lebih 900 pempamer dari 50 negara.

Dalam kenyataan yang diterbitkan menjelang perasmian IDEX 2011, Sheikh Mohammad Bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE serta Pemerintah Dubai, berkata: "Kami di UAE, tidak melihat IDEX atau Pertunjukan Udara Dubai sebagai platform untuk perlumbaan senjata di rantau ini, seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Tapi, (kami) melihatnya dari segi perdagangan, pelancongan dan teknologi kerana kepelbagaian penyertaan dan kehadiran pada acara ini menarik perhatian masyarakat antarabangsa dan mendapat keyakinan tinggi daripada pempamer dan pengguna."

Ini, kata beliau, menjadikan UAE sebagai pusat pertemuan bagi manusia pelbagai kaum dan gerbang antara Timur dan Barat.

Pameran ini juga membolehkan anggota pasukan bersenjata dan polis UAE meraih pengalaman dan pengetahuan melalui interaksi dengan pakar dari seluruh dunia, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain