suria

Malaysia Berminat Teknologi Angin India

CHENNAI: Malaysia sedang berunding dengan para ahli sains dalam bidang tenaga angin India dan kemungkinan mengadakan hubungan dengan Pusat Teknologi Tenaga Angin (C-WET) bagi mendapatkan kepakaran teknoloji bagi menggunakan tenaga alternatif itu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang sedang melawat India berkata negara itu mempunyai program pembangunan tenaga angin yang maju yang mempunyai standard dunia yang boleh digunakan oleh Malaysia.

"Ia merupakan satu bidang baharu bagi kita dan kita sedang meneroka bidang ini. Saya melihat teknologi ini di India sama baik dari mana-mana di dunia."

"Kita mahu menggunakan teknologi ini dan mengadakan hubungan dengan C-WET," katanya kepada Bernama selepas melakukan lawatan itu.

Ongkili kini sedang mengetuai satu delegasi ke India dan Bangladesh bagi kemungkinan menjalin hubungan teknikal dengan institusi tempatan di dalam bidang tenaga diperbaharu, teknologi komunikasi dan telekomunikasi.

C-Wet, yang terletak di bawah Kementerian Tenaga Baharu dan Diperbaharui India, adalah satu pusat utama pembangunan tenaga angin bagi membolehkannya mencapai tahap berdikari di dalam sektor kuasa.

India kini ditempatkan pada kedudukan kelima terbesar pengeluar tenaga angin, dengan keupayaan terpasang hampir 13,000 megawatt dan menjana kira-kira 1.6 peratus daripada kuasa negara itu.

Sabtu lepas, delegasi Malaysia itu telah melawat Yayasan Inovasi Villgro, iaitu satu penyedia teknologi yang terletak di Taman Penyelidikan Institut Teknologi India (IIT) Madras.

Mereka turut melawat Yayasan Penyelidikan M. S. Swaminathan, iaitu satu lagi pusat terkemuka yang mempromosikan pembangunan pertanian dan luar bandar mampan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Lebih 1,000 Maut Di Libya

Artikel Berikut

Artikel Lain