suria

Dewan Perusahaan Arab Saudi Gantung Pengambilan Pekerja Dari Indonesia

JAKARTA: Jawatankuasa Pengambilan Nasional Majlis Dewan Perusahaan dan Perindustrian Arab Saudi memutuskan untuk menggantung pengambilan pekerja dari Indonesia mulai Isnin.

Jawatankuasa itu juga menasihatkan pejabat pengambilan agar tidak menerima sebarang kerja-kerja visa untuk rakyat Indonesia kerana Persekutuan Buruh Indonesia gagal mematuhi terma-terma dan syarat-syarat perjanjian dua hala.

"Kita juga menasihatkan rakyat Arab Saudi agar tidak memohon visa pengambilan baru untuk Indonesia ekoran bayaran yang tinggi dan kurang pekerja-pekerja yang berkelayakan,” menurut jawatankuasa itu yang dilaporkan dalam portal berita arabnews.com pada Isnin.

Laporan itu melaporkan pengerusi jawatankuasa tersebut Yahya Hassan Al-Maqbool, berkata keputusan baru itu dibuat berikutan laporan yang keterlaluan dalam media Indonesia mengenai penyalahgunaan pembantu Indonesia oleh penaja Arab Saudi.

Terdapat pandangan yang berbeza antara pihak berkuasa Arab Saudi dan Indonesia mengenai bayaran pengambilan dan gaji untuk pembantu dan pemandu Indonesia, kategori utama tenaga kerja yang diimport dari negara-negara Asia Tenggara, katanya.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Buruh Indonesia Ramli Saud dalam kenyataan sebelum ini berkata Arab Saudi telah mengambil hampir sejuta pekerja rakyat Indonesia dengan 97 peratus daripadanya adalah pembantu dan pemandu.

Sementara itu Menteri Tenaga kerja dan Transmigrasi Indonesia Muhaimin Iskandar pada Isnin menyatakan bahawa kerajaan Arab Saudi dan negaranya bersetuju tidak akan mengenakan denda terhadap pendatang haram Indonesia yang akan dihantar pulang dari Arab Saudi.

"Kedua-dua negara telah mencapai perjanjian semasa perbincangan dua hala untuk mengurangkan penghantaran balik (pekerja haram Indonesia) dan ini dilakukan tanpa mengenakan denda," kata beliau.

Kerajaan Indonesia telah memudahkan lagi penghantaran balik 301 pendatang haram Indonesia yang tinggal di bawah jambatan setelah visa mereka tamat tempoh sah laku.

Mereka tiba di Jakarta menaiki pesawat Garuda, penerbangan kebangsaan Indonesia pada Isnin. - BERNAMA

Artikel Lain