suria

Thailand Puas Hati Keputusan Mesyuarat Majlis Keselamatan PBB

BANGKOK: Thailand yakin mesyuarat tidak rasmi para Menteri Luar Asean di Jakarta minggu depan akan mematuhi keputusan mesyuarat Majlis Keselamatan Bangsa Bersatu (PBB) semalam apabila mereka membincangkan perkara berkaitan konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja.

Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva berkata beliau percaya negara anggota Asean akan menggalakkan Thailand dan Kemboja, yang turut menganggotai pertubuhan serantau itu, supaya menyelesaikan perbalahan antara mereka melalui dialog.

"Kami berpuas hati dengan hasil mesyuarat Majlis Keselamatan Bangsa Bersatu semalam yang mahu konflik ini diselesaikan melalui dialog," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di sini.

Majlis Keselamatan PBB menggesa Thailand dan kemboja mengadakan gencatan senjata berkekalan dan menyelesaikan konflik itu secara aman melalui dialog.

Menteri Luar Thailand Kasit Piromya, Menteri Luar Kemboja Hor Namhong dan Menteri Luar Indonesia (negara yang menjadi pengerusi Asean sekarang) Dr Marty Natalegawa menghadiri mesyuarat tersebut di New York.

Kasit dan Hor membentangkan kes negara masing-masing berhubung pertempuran selama empat hari yang menggunakan senjata berat bermula pada 4 Februari di sempadan kedua-dua negara, hingga meragut 10 nyawa daripada kedua-dua pihak.

Thailand dan Kemboja bertelagah mengenai satu kawasan seluas 4.6km persegi di sekitar Kuil Hindu Preah Vihear berusia 1,000 tahun, walaupun Mahkamah Keadilan Antarabangsa membuat keputusan pada 1962 bahawa kawasan yang disenaraikan sebagai tapak warisan dunia pada 2008 itu terletak di Kemboja.

Abhisit berkata Thailand tidak membantah usaha Asean untuk membawa kedua-dua pihak ke meja rundingan.

"Kami percaya ia boleh diselesaikan melalui hubungan dua hala kerana ia melibatkan masalah dua hala," kata Abhisit.

Bangkok merancang mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Bersama Thailand-Kemboja di sini untuk menyelesaikan proses penandaan sempadan pada akhir bulan ini.

Diminta mengulas respons Phnom Penh tentang mesyuarat itu kerana laporan awal dari Phnom Penh membayangkan ia (Phnom Penh) keberatan untuk menghadirinya, Abhisit berkata: "Berilah sedikit masa kepada mereka (untuk memberi respons).

"Tiada tarikh akhir ditetapkan untuk mereka memberi respons." - BERNAMA

Artikel Lain