suria

Wakil Tetap Malaysia Ke PBB Ketuai Upacara Pembukaan Dagangan Di Nasdaq

NEW YORK: Wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Hamidon Ali, telah diberikan penghormatan dan peluang Jumaat lalu untuk mengetuai upacara pembukaan dagangan pasaran saham NASDAQ yang menandakan permulaan urus niaga, Sabtu.

NASDAQ ialah bursa saham Amerika dan merupakan akronim bagi 'National Association of Securities Dealers' Automated Quotations'.

Bursa itu mendakwa dirinya sebagai pasaran dagangan sekuriti ekuiti berasaskan skrin elektronik terbesar di Amerika Syarikat.

Sesungguhnya, NASDAQ OMX Group, Inc. adalah syarikat bursa terbesar di dunia yang menyediakan perkhidmatan dagangan, teknologi bursa dan syarikat awam di enam benua dan mempunyai lebih 3,600 syarikat tersenarai.

Naib Presiden Sekutu (Perhubungan Kerajaan) di NASDAQ, Jameel Johnson berkata NASDAQ OMX kini menjadi rakan kongsi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang akan menggunakan teknologi pengawasan pasaran SMARTS Group.

SMARTS Group adalah sebahagian daripada perniagaan Teknologi Pasaran NASDAQ OMX yang membekalkan teknologi kepada lebih 70 pasaran di lebih 50 negara, termasuk Malaysia.

Ketika mengalu-alukan Hamidon, Johnson menarik perhatian kepada "hubungan perniagaan dan perdagangan yang erat" antara Malaysia dengan Amerika Syarikat.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia membuat peruntukan besar dalam belanjawannya bagi tujuan meningkatkan pendidikan yang merupakan sektor keutamaan bagi kerajaan Malaysia.

Dalam ucapan balasnya terhadap ucapan alu-aluan Johnson, Hamidon berkata beliau "amat berbesar hati" dengan peluang yang diberikan untuk membunyikan loceng pembukaan bagi urus niaga hari tersebut.

Beliau menyebut tentang pencapaian ekonomi dan sosial yang dikecapi oleh Malaysia yang telah meningkat maju sebagai negara perdagangan ke-18 terbesar di dunia.

Amerika Syarikat, katanya, merupakan rakan dagang yang penting bagi Malaysia.

Hamidon, yang berkata Malaysia adalah "pasaran yang dikawal selia dengan baik" dan mendapat pengiktirafan agensi-agensi penting, juga mengambil peluang memperkenal perbankan Islam Malaysia yang bernilai US$4 bilion.

Hamidon, yang mengetuai Majlis Ekonomi dan Sosial Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai Presiden bagi pihak Malaysia, bercakap tentang peranan-peranan yang perlu dimainkannya dalam jawatan berkaitan PBB yang beliau sandang.

"Saya perlu memainkan banyak peranan sebagai wakil tetap Malaysia dan ini termasuklah kehadiran saya di sini di NASDAQ di mana saya menyampaikan ucapan terpendek," katanya, berseloroh di hadapan hadirin yang terdiri daripada pegawai-pegawai NASDAQ, wakil media dan wakil misi Malaysia ke Bangsa-Bangsa Bersatu.

Dalam satu wawancara dengan Bernama, Johnson bercerita tentang lawatannya selama seminggu ke Malaysia 10 tahun lalu, yang disifatkannya sebagai "misi mencari fakta".

"Dalam seminggu yang amat menarik itu, saya belajar banyak perkara tentang hubungan ekonomi AS-Malaysia.

"Saya amat kagum bukan sahaja dengan pembangunan Malaysia dan keutamaan yang diberikannya kepada pendidikan, malah juga (penduduknya yang terdiri daripada)masyarakat Melayu, Cina dan India yang hidup bersama dengan aman.

"Keramahan penduduknya meninggalkan kesan yang mendalam di hati saya," tegasnya.

Ditanya sama ada beliau akan mengunjungi Malaysia lagi pada masa akan datang, Johnson dengan berseloroh berkata: "Saya memang mahu ke sana, tetapi itu bergantung kepada NASDAQ". - BERNAMA

Artikel Lain