suria

Firma Lelong Christie Catat Jualan Tertinggi Dalam Sejarah Sepanjang 2010

HONG KONG: Agensi lelong terkemuka dunia - Christie - telah mencatatkan rekod jualan hasil kerja seni tertinggi dalam sejarahnya tahun lalu apabila mengumumkan jualan global sebanyak $AS5 bilion.

Dan pengumpul barang-barang lelong dari China terus menjadi pemain utama sepanjang tahun lalu memandangkan jumlah pembeli dari negara tersebut serta Taiwan dan Hong Kong mencatatkan penyertaan yang tinggi dalam setiap majlis lelongan.

Jualan pada tahun 2010 meningkat 53 peratus termasuklah kejayaan Christie melelong hasil kerja lukisan Pablos Picasso yang termahal pernah dicatatkan iaitu sekeping lukisan berjudul "Nude, Green Leaves, and Bust" pada bidaan $AS106.5 juta.

Firma itu juga berjaya menjual hasil koleksi milik tokoh-tokoh ternama dunia termasuklah penulis sains fiksyen dan novelis mendiang Michael Crichton yang menghasilkan karya-karya besar seperti Jurassic Park dan ER.

"2010 telah mencatatkan satu sejarah baru dari segi jualan dan hasil kerja seni terus menjadi pilihan dan buruan para pengemar dan pengumpul seni," kata Steven P. Murphy, Ketua Pegawai Eksekutif Christie's International.

Selain daripada itu, sekitar 20 peratus daripada hasil jualan global Christie adalah terdiri daripada pembeli-pembeli dari China, Hong Kong dan Taiwan.

Para pengumpul dari China kini membeli balik hasil kerja seni dan harta karun yang berasal dari negara mereka dan membawanya pulang semula ke China.

Artikel Lain