suria

Air NZ Ambil Kepentingan Besar Dalam Virgin Blue

MELBOURNE: Air New Zealand telah mengambil alih kepentingan antara 10 dan 14.99 peratus di dalam Virgin Blue di bawah rancangan untuk mengambil alih kepentingan yang lebih besar lagi di dalam syarikat penerbangan itu tetapi menyatakan ia bukan satu rancangan cubaan pengambilalihan.

"Pelaburan dalam Virgin Blue adalah sebahagian daripada strategi Air New Zealand untuk melaksanakan pembangunan berskala dan menjangkau ke rantau ini," kata Ketua Eksekutif Air New Zealand Rob Fyfe yang dilaporkan sebagai berkata di sini selepas penutupan pasaran saham Australia Khamis.

"Gabungan Tasman dengan Virgin Blue adalah langkah pertama strategi itu."

Fyfe berkata Air New Zealand tidak berhasrat melakukan pengambilalihan Virgin Blue, yang disahkannya melalui telefon kepada Ketua Eksekutif Virgin Blue John Borghetti pada Khamis.

Air New Zealand berkata ia telah mendapat kelulusan Lembaga Kajian Pelaburan Asing Australia untuk membeli sehingga 14.99 peratus kepentingan Virgin Blue, iaitu pegangan saham yang dipercayainya akan memastikan pemilikan asing keseluruhan Virgin Blue berada pada had berkanun sebanyak 49 peratus.

Tahun lepas, Air New Zealand dan Virgin Blue mendapat kelulusan dari Menteri Pengangkutan NZ Steven Joyce bagi menjalin kerjasama pada laluan merentasi Tasman, kata Australian Associated Press.

Virgin Group yang berpangkalan di UK adalah pemegang saham terbesar Virgin Blue, dengan kepentingan 26 peratus. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain