suria

Malaysia Pertama Dibenarkan Hantar Bantuan Kepada Australia

BRISBANE: Malaysia menjadi negara pertama yang dibenarkan kerajaan Australia menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir selepas beberapa kawasan di timur laut negara itu dilanda banjir buruk sejak bulan lepas.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia Datuk Salman Ahmad berkata ketika bencana itu melanda, belum terdapat mana-mana negara di dunia yang dibenarkan berbuat demikian.

"Ini satu pengiktirafan antarabangsa terhadap negara kita khususnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kita gembira di atas perkembangan ini," katanya kepada pemberita Malaysia semasa menyambut ketibaan para sukarelawan Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Lapangan Terbang Brisbane, di sini malam Jumaat.

Misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia selama empat hari itu diketuai Pengerusinya Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim bersama 18 sukarelawan termasuk tiga orang doktor dalam pelbagai bidang perubatan serta wakil media massa.

Misi itu turut membawa bekalan makanan, selimut, ubat-ubatan dan komputer riba untuk diagihkan kepada rakyat Malaysia termasuk pelajar dan keluarga yang terbabit dalam bencana banjir itu.

Salman berkata kira-kira 200 pelajar dan rakyat Malaysia terbabit dalam bencana alam itu berada dalam keadaan selamat dan mereka kini ditempatkan di beberapa pusat pemindahan seperti St Lucia, Toowoomba dan Gunnedan.

Katanya bantuan kepada mereka dibahagikan kepada beberapa kategori berikutan terdapat di kalangan mereka yang memerlukan bantuan sepenuhnya.

"Kita telah mengambil beberapa langkah drastik dalam membantu pelajar kita yang terlibat dan kebenaran kerajaan Australia membolehkan mangsa dapat diberi bantuan dengan segera dan kehadiran Kelab Putera mempercepatkan lagi proses itu," katanya.

Antara universiti yang terletak berhampiran adalah University of Southern Queensland dan Queensland University of Technology Brisbane.

Abdul Azeez berkata pihaknya bersyukur dengan kebenaran yang diberikan kerajaan Australia kerana ia membolehkan pihaknya melepasi sempadan antarabangsa dengan mudah bagi mempercepatkan proses bantuan.

"Kebenaran kerajaan Australia kepada Kelab Putera 1Malaysia adalah satu peluang terbaik yang membuktikan konsep 1Malaysia sudah diterima dan terbukti bagi menampilkan rakyat didahulukan tanpa mengira kaum dan latar belakang agama," katanya.

Ketibaan 18 sukarelawan Kelab Putera di bandar ini kira-kira 9.10 malam (waktu tempatan) dalam keadaan hujan renyai-renyai pada suhu 25 darjah selsius.

Dalam pada itu, lima tan barangan makanan dan ubat-ubatan yang dibawa anggota misi itu tidak menghadapi kesukaran semasa memasuki pemeriksaan pihak berkuasa negara itu.

Banjir terburuk dialami Queensland dalam tempoh seabad itu semakin pulih meskipun semasa kejadian menyaksikan air berlumpur yang melimpah dari Sungai Brisbane mencapai paras setinggi lampu isyarat di beberapa tempat dengan kira-kira 20,000 rumah tenggelam. - BERNAMA

Artikel Lain