suria

Matrade Bantu Syarikat Malaysia Ke Pasaran Aeroangkasa

FRANKFURT: Pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di Frankfurt berjaya memperkenalkan sebuah syarikat Malaysia kepada dunia kejuruteraan aeroangkasa yang canggih, teliti dan luas.

Pemilihan pembekal asing bagi industri berkenaan amat ketat dengan standard penyumberan luar yang tinggi.

Pesuruhjaya Perdagangan kanan Malaysia di Frankfurt, Sabri Ab Rahman memberitahu Bernama bahawa terdapat sebuah syarikat Malaysia terlibat untuk pertama kalinya sebagai pembekal kepada reka bentuk pesawat yang rumit bagi konsortium pesawat Eropah, Airbus.

"Pemilihan syarikat Malaysia bagi kerja-kerja yang canggih menunjukkan bahawa hasil inovatif dan kualiti Malaysia telah matang kepada standard kejuruteraan antarabangsa terbaik," kata Sabri.

Syarikat Malaysia itu, Strand Aerospace Malaysia yang berpangkalan di Cyberjaya, kini dalam usaha menjadi pembekal dengan mengadakan rundingan dengan pembekal peringkat pertama kepada Airbus mengenai potensi kerja-kerja kontrak.

Ketua Pegawai Operasi syarikat itu, Naguib Mohd Nor berkata beliau teruja untuk bekerja dengan syarikat berprestij, Airbus Group, yang keputusan kewangannya baru-baru ini mendapat rangsangan kukuh dengan pesanan 180 pesawat daripada IndiGo Airline dari India yang dalam rancangan pengembangan, bagi pesawat A320.

Dengan jumlah kontrak dalam tangan yang besar, Airbus perlu menambah kerja-kerja penyumberan luar, demikian menurut pakar dari Jerman.

Strand Aerospace, yang mereka bentuk struktur pesawat dan ditubuhkan pada 2006 di Malaysia, telah bekerja untuk Airbus U.K. dan syarikat peringkat pertama seperti Atkins Aerospace, GKN Aerospace, A-Systems dan Messier Dowcy.

"Saya merupakan antara anggota misi perdagangan Matrade bagi penyumberan luar di Berlin pada November 2010. Saya menemui beberapa syarikat aeroangkasa di Berlin dalam usaha mendapatkan hubungan baru dan bekerja dengan syarikat Jerman di bawah sasaran program ekonomi dan utama negara yang kami terajui.

"Perkhidmatan kami akan disediakan melalui pembekal peringkat pertama, Ferchau Engineering di Hamburg, yang kami akan temui tidak lama lagi bagi susulan hubungan awal kami. Ferchau merupakan satu daripada enam syarikat pembekal kejuruteraan peringkat pertama kepada Airbus,” kata Naguib dalam temu bual telefon dengan Bernama.

Beliau mengakui Matrade telah memberi bantuan dalam mewujudkan hubungan dengan pembekal di Hamburg itu.

Ketua Pegawai Operasi Strand itu mendakwa syarikatnya merupakan syarikat Malaysia pertama diluluskan bagi reka bentuk struktur utama pesawat.

Naguib berkata kemampuan syarikatnya diakui dan kelebihan terbesarnya kepada kontraktor syarikat ialah syarikat boleh menawarkan kerja yang berkualiti beserta kos yang lebih rendah berbanding sub kontraktor Eropah atau barat.

Pemerhati Jerman yakin Strand Aerospace berkemungkinan mendapat perniagaan bernilai antara RM1 juta dan RM2 juta.

"Bagaimanapun, ia bukan hanya pada nilai kontrak. Ia akan mengukuhkan Strand dan malah Malaysia sebagai pembekal yang boleh diharapkan untuk industri pesawat," kara seorang pakar Jerman.

Naguib berkata syarikat akan mengambil beberapa jurutera bagi kerja-kerja tambahan dan akan memerlukan beberapa bulan untuk melatih mereka bagi memenuhi keperluan khusus.

Industri aeroangkasa boleh menjadi perniagaan yang menguntungkan bagi Malaysia jika ia boleh mengekalkan standard yang tinggi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain