suria

Pelakon British Colin Firth, Bintang Star Wars Natalie Portman Berpeluang Ulangi Kejayaan Golden Globe Di Anugerah BAFTA

LONDON: Colin Firth dan bintang Star Wars Natalie Portman berpeluang mengulangi kejayaan mereka meraih gelaran pelakon lelaki dan wanita terbaik pada anugerah Golden Globe di Anugerah British Academy of Film and Television Arts (BAFTA) yang akan berlangsung di Royal Opera House London pada 13 Februari ini.

Kedua-duanya pada Selasa disenarai pendekkan untuk anugerah berprestij Britain itu.

Filem Colin Firth, "The King's Speech" dan Natalie "Black Swan", mendahului senarai tertinggi pencalonan untuk anugerah BAFTA.

Filem "The King's Speech" yang mengisahkan bagaimana King George VI 'bertarung' dengan ahli terapi pertuturan untuk memulihkan gagapnya telah menerima 14 pencalonan termasuk filem dan pelakon lelaki terbaik manakala filem lakonan Natalie yang mengisahkan kehidupan seorang penari ballet dan wajah hitam di sebalik industri yang dianggap terhormat itu menerima 12 pencalonan.

Dalam pada itu, filem seram "Inception", lakonan bintang Titanic, Leonardo DiCaprio, menerima sembilan pencalonan dan filem arahan Danny Boyle, "127 Hours" dan filem "True Grit", arahan Coen bersaudara masing-masing menerima lapan pencalonan.

Filem paling hangat diperkatakan sekarang "The Social Network", yang baru sahaja dinobatkan sebagai filem terbaik pada Anugerah Golden Globes Ahad lalu bagaimana pun hanya menerima enam pencalonan sahaja untuk Anugerah BAFTA.

"Alice In Wonderland" pula menerima lima pencalonan BAFTA manakala "The Kids Are All Right", yang mengisahkan kehidupan pasangan lesbian dan anak-anak mereka dan sebuah filem British "Made In Dagenham", masing-masing menerima empat pencalonan.

Filem "The Fighter", "The Girl With The Dragon Tattoo" dan "Toy Story 3" pula menerima tiga pencalonan setiap satu.

Pelakon British, Firth dijangka bersaing dengan Javier Bardem ("Beutiful"), Jeff Bridges ("True Grit"), Jesse Eisenberg ("The Social Network") and James Franco ("127 Hours") untuk anugerah pelakon lelaki terbaik.

Manakala Natalie Portman akan berhadapan dengan Annette Bening serta Julianne Moore dari filem "The Kids Are All Right", Noomi Rapace ("The Girl with the Dragon Tattoo") dan Hailee Steinfeld ("True Grit") untuk anugerah pelakon wanita terbaik.

Pencalonan untuk filem terbaik pula akan menyaksikan persaingan antara "Black Swan", "Inception", "The King's Speech", "The Social Network" dan "True Grit".

Sementara untuk filem terbaik British pula akan menyaksikan persaingan antara "127 Hours", "Another Year", "Four Lions", "The King's Speech" dan "Made in Dagenham".

Dalam pada itu, pelakon veteran British Pete Postlethwaite, yang meninggal dunia pada 2 Januari baru-baru ini pada usia 64 tahun kerana kanser, telah dicalonkan untuk kategori pelakon pembantu lelaki terbaik menerusi lakonannya sebagai ketua mafia bernama "Fergie the Florist" dalam filem "The Town".

Anugerah BAFTA kini dilihat sebagai wadah untuk filem British "The King's Speech" untuk mencapai momentum yang diharapkan menjelang Anugerah Oscar tahun ini yang dijadualkan berlangsung pada 27 Februari.

Filem itu menerima tujuh pencalonan Golden Globes tetapi hanya memenangi satu anugerah sahaja iaitu melalui Firth.

Secara kontrasnya, filem "The Social Network" memenangi empat dari enam pencalonan.

Sementara Anugerah Golden Globes dilihat secara tradisinya sebagai petunjuk kepada bakal pemenang Anugerah Oskar, Anugerah BAFTA terpaksa dijadualkan semula agar diadakan lebih awal bagi memberi momentum yang sama menjelang kemuncak kepada segala anugerah industri perfileman iaitu Anugerah Oskar.

Artikel Lain