suria

Perdana Menteri Bangladesh Jemput Najib Ke Dhaka

DHAKA: Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina menjemput Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak melawat negara itu.

Jemputan itu disampaikan kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang membuat kunjungan hormat ke atas Hasina pada Khamis.

"Dia (Hasina) menjemput Perdana Menteri melawat Bangladesh. Bangladesh juga berminat untuk berbincang mengenai Asian University for Women (AUW) dengan universiti-universiti Malaysia," kata Rosmah kepada pemberita di seni selepas menamatkan lawatan dua hari ke Dhaka.

Beliau berada di sini sebagai jemputan bagi menyampaikan ucapan pada satu simposium antarabangsa bertajuk "Membayangkan Satu Lagi Masa Depan Untuk Asia: Idea dan Laluan Ke Arah Perubahan" anjuran Asian University for Women (AUW) yang berpejabat di Chittagong.

Beliau berkata AUW merupakan satu institusi model bagi mendedahkan pelajar-pelajar Malaysia kepada pendidikan tinggi, sebuah universiti yang ditubuhkan khusus bagi menggalakkan peluang pendidikan kepada wanita untuk membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

"Ia adalah satu perkembangan yang baik sekiranya rakyat Malaysia diberikan peluang untuk belajar di sini, untuk berinteraksi dan saling bertukar pandangan mengenai isu-isu yang berkaitan wanita," katanya.

Isteri bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair, Cherie Blair dan bekas Wanita pertama Jepun Akie Abe turut mengunjungi Rosmah di sini hari ini.

Rosmah bersama delegasinya berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 6 petang (waktu Malaysia). - BERNAMA

Artikel Lain