suria

Di Itali, Seorang PM Buaya Darat Bukanlah Satu Isu - Pensyarah

ROM: Dakwaan terbaru skandal seks Perdana Menteri Itali Silvio Berlusconi yang juga pemilik kelab bolasepak AC Milan, semakin melemahkan kerajaan pimpinannya yang berhadapan dengan kritikan dari pelbagai sudut.

Tetapi itu sama sekali tidak menjadi perkiraan bagi masyarakat Itali kerana di negara itu, imej buaya darat bukanlah merupakan satu isu nasional atau moral, kata para ahli akademik.

Dalam skandal terbaru ini, Berlusconi, 74, dikatakan menyimpan pelacur kelas atasan termasuk pelacur di bawah umur di apartmen mewah miliknya secara percuma.

Para pemerhati melihat skandal terbaru ini akan terus mencalarkan imej Itali di mata dunia tetapi tidak di negaranya sendiri.

Satu inkuari untuk menyiasat hubungan Berlusconi dengan perempuan bawah umur yang dikenali dengan nama Ruby telah pun didaftarkan di sebuah Mahkamah Majistret Jumaat lalu.

Sementara hubungan seks dengan pelacur bukanlah menjadi satu kesalahan di Itali tetapi mengadakan hubungan seks dengan perempuan bawah umur merupakan satu jenayah.

Semalam (Isnin) Pejabat Pendakwaraya di Milan telah mendedahkan dokumen yang mengandungi maklumat berkaitan hubungan perdana menteri itu dengan beberapa pelacur muda serta parti liar yang didakwa berlangsung di kediaman Berlusconi.

"Ini bukanlah satu situasi yang mudah kerana imej perdana menteri sebuah negara kini dikaitkan dengan dunia pelacuran dan akan menjejaskan imejnya di peringkat antarabangsa," kata Franco Pavoncello, seorang saintis politik di John Cabot University di Rom kepada AFP.

"Dakwaan yang dibuat ke atas perdana menteri ini tersangat serius dan akan meninggalkan kesan besar ke atas kerajaan dengan mengambil kira masalah yang sedia ada...dan ini mungkin akan membawa kepada pilihan raya umum awal," katanya lagi.

Ruby, 18, atau nama sebenarnya Karima El Mahroug, seorang berbangsa Magribi didakwa keluar-masuk apartmen milik perdana menteri itu antara Februari hingga Mei tahun lalu, kata para pendakwaraya sambil menegaskan mereka mempunyai bukti kukuh termasuk rakaman perbualan telefon yang dapat mengaitkan hubungannya dengan Berlusconi.

Salah satu daripada perbualan antara Ruby dan kawan-kawannya yang dirakamkan oleh pihak pendakwaraya secara sulit ialah bagaimana dia meminta daripada Berlusconi wang berjumlah Euro 5 juta sebagai pampasan kerana namanya kita telah dibabitkan dalam skandal tersebut.

Berlusconi sehingga kini belum memberi sebarang respon atau reaksi kepada dakwaan terbaru ini.

Berlusconi telah pun bercerai dengan isterinya, Veronica Lario, pada tahun 2009.

Namun begitu pensyarah sains politik Roberto Luiss University di Rom, D'Alimonte mempunyai pandangan yang berbeza.

Beliau berkata, Itali kini berada dalam situasi yang sangat sukar dan penuh dengan ketidaktentuan ekoran daripada skandal ini kerana ia menjejaskan imej negara itu di mata dunia tetapi tidak kepada rakyat Itali.

"Ini kerana seluruh Itali mengetahui bahawa Silvio Berlusconi adalah seorang buaya darat, malah buaya darat yang paling besar di kalangan pemimpin negara-negara G8, tetapi di Itali menjadi buaya darat bukanlah satu jenayah.

"Malah di Itali, faktor itu tidak langsung menjadi satu pertimbangan utama dalam memilih pemimpin dan para pengundi telah memilih dia tanpa mengambil kira sama ada dia seorang buaya darat," kata D'Alimonte.

Oleh yang demikian katanya, para pendakwaraya akan berhadapan dengan seribu satu halangan bagaimana hendak mendakwa seorang buaya darat yang diterima rakyat.

Beliau telah diterima sebagai seorang ahli politik buaya darat sejak 15 tahun yang lalu, kata pensyarah itu lagi.

Artikel Lain