suria

K'jaan Britain Naikkan Harga Minuman Keras Dalam Usaha Kawal Kesihatan

LONDON: Kerajaan British pada Selasa mengumumkan harga baru minimum alkohol dalam usahanya untuk membendung gejala jenayah yang berpunca daripada alkohol dan juga untuk menjaga kesihatan rakyatnya.

Bagaimanapun para pengempen kesihatan dengan segera membidas harga baru itu sebagai tidak berkesan.

Mulai sekarang, peruncit tidak dibenarkan lagi menjual alkohol di bawah paras kos cukai duti jualan yang bermaksud kos setin minuman keras secara puratanya bernilai 38 pence dan sebotol vodka satu liter Pound Sterling 10.71.

"Dengan memperkenalkan harga baru ini, kami kini menghantar signal yang jelas bahawa kerajaan tidak lagi membenarkan minuman keras dijual pada harga yang rendah atau murah yang kesannya akan membawa kepada gejala kesihatan dan jenayah mabuk," kata Menteri Dalam Negeri, James Brokenshire dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun cadangan harga baru itu masih dilihat terlalu rendah oleh kumpulan dan pertubuhan yang berkempen mendesak kerajaan mengenakan harga minimum yang lebih tinggi agar arak tidak dijual pada harga yang terlalu rendah sehingga membawa kepada ketagihan dan akses yang mudah.

"Harga minimum ini tidak akan membawa sebarang impak kepada penjualan alkohol yang dijual pada harga yang sangat murah di pasar raya," kata pakar hati dan juru kempen kesihatan terkemuka Profesor Ian Gilmore kepada BBC.

Seorang lagi pengerak badan amal perihatin alkohol, Don Shenker juga memberi amaran bahawa harga minimum baru ini tidak akan memberi kesan besar ke arah menyelesaikan masalah ketagihan alkohol di negara itu dan juga menegaskan segala-galanya berpunca dari cukai alkohol yang terlalu rendah di Britain.

Menurut statistik, pada tahun 2007, 6,541 kes kematian di England adalah berpunca secara langsung dari alkohol - iaitu peningkatan sebanyak 19% sejak 2001.

Dan kos yang terpaksa ditanggung oleh Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan akibat daripada alkohol berjumlah Pound Sterling 2.7 bilion antara tahun 2006-07.

Artikel Lain