suria

Airbus Atasi Boeing Dengan 574 Pesanan Pesawat Sepanjang 2010

TOULOUSE (Perancis): Airbus kini mendahului Boeng sebagai pengeluar pesawat komersial terbesar dunia pada tahun 2010.

Pengerusi Airbus, Tom Enders memberitahu para pemberita di sini, Selasa, Airbus telah berjaya menjual 510 buah pesawat sepanjang tahun lalu dan kini telahpun menerima tempahan pasti untuk 574 pesawat lagi bernilai ASD$84 bilion.

Untuk tahun ini sahaja, katanya, Airbus akan membuat penghantaran antara 520 dan 530 buah pesawat kepada para pelanggannya di seluruh dunia.

"2010 telah membuktikan tahun yang sangat bagus kepada kami, malah jauh mengatasi sasaran yang kami tetapkan 12 bulan yang lalu," kata Enders.

Boeing, yang merupakan pesaing tunggal kepada Airbus untuk pasaran global, menerima 530 tempahan pesawat dan berjaya menunaikan permintaan sebanyak 462 buah pesawat sepanjang tahun lalu.

Menurut Airbus, mereka berjaya mencatatkan jumlah jualan baru untuk tahun kesembilan berturut-turut.

Penghantaran tahun lalu termasuklah 401 pesawat jarak sederhana A320 dan 18 buah pesawat terbesar dunia super-jumbo A380.

Manakala bagi tempahan baru sepanjang tahun lalu pula termasuklah 452 buah pesawat A320 dan 32 buah pesawat A380 - sekaligus meletakkan Airbus menguasai 51 % pasaran pesawat komersial dunia berkapasiti 100 tempat duduk ke atas.

Model A320 Airbus iaitu siri pesawatnya yang paling kecil adalah salah satu model terlaris.

Minggu lalu Airbus mengumumkan penerimaan tempahan pertama untuk model A320neo yang menjimatkan pembakaran bahan api daripada syarikat penerbangan tambang murah Indian - Indigo untuk 150 buah pesawat bernilai lebih kurang ASD$15.6 bilion.

Pertumbuhan yang memberansangkan ini telah mendorong Airbus menggaji 2,200 pekerja baru sepanjang tahun lalu - menjadikan jumlah tenaga kerjanya di seluruh dunia kepada 52,500 orang.

Airbus merancang untuk menambah pengambilan pekerja baru sehingga 3,000 orang tahun ini ekoran tempahan yang memberansangkan untuk model A320 dan A320neo.

Artikel Lain