suria

Dua Terbunuh, Kapal Karam Dipukul Gelombang Di Sulawesi Utara

JAKARTA: Seorang anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia dan isteri kepada seorang anggota DPR lain mati apabila sebuah kapal penumpang yang mereka naiki bersama 10 anggota DPR lain, karam akibat dipukul gelombang di perairan Bunaken, Manado, Sulawesi Utara, Sabtu.

Mereka yang meninggal dunia ialah Setia Permana, anggota DPR daripada Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) dan Wahyu Nurani, isteri kepada anggota DPR daripada Parti Demokrat, Sutjipto. Tragedi itu juga mengakibatkan lapan anggota DPR lain cedera.

Menurut laporan agensi berita Antara serta stesen TV swasta TV-One dan Metro TV, kejadian itu dipercayai berlaku antara pukul 11.30 pagi dan 12 tengah hari ketika kapal itu sedang dalam perjalanan pulang menuju ke Manado.

Salah seorang anggota DPR yang terselamat Nudirman Munir dipetik sebagai berkata kapal berkenaan hancur sama sekali selepas dipukul ombak besar.

"Kapal yang kami naiki dipukul ombak sebanyak tiga kali, kali pertama menyebabkan bahagian tepi kapal pecah dan dua lagi hentakan menyebabkan kapal hancur sama sekali," katanya ketika ditemu bual Metro TV di Hospital Bhayangkara, Manado.

Nudirman sendiri berada dalam kapal tersebut dan turut tercampak ke laut dan dia terselamat setelah sempat berpaut pada sekeping papan serpihan kapal.

TV-One pula menayangkan gambar serpihan-serpihan kapal berkenaan yang hanyut di tepi pantai.

Setia Permana bersama pasukan 10 anggota Suruhanjaya III DPR dilaporkan sedang melakukan lawatan kerja dua hari ke Sulawesi Utara, dan selepas selesai kerja, mereka mengambil kesempatan melancong ke Taman Nasional Laut Bunaken, Manado, yang merupakan salah satu objek pelancongan terkenal dunia. - BERNAMA

Artikel Lain