suria

Ulama Indonesia Ditangkap Dituduh Terlibat Keganasan

JAKARTA, Indonesia: Ulama terkenal Indonesia, Abu Bakar Bashir sekali lagi ditangkap oleh pihak berkuasa Indonesia kerana dituduh terlibat dengan rangkaian militan terbaru.

Peguamnya, Muhammad Ali berkata, beliau ditahan di daerah Ciamis di Jawa Barat, pagi Isnin.

Abu Bakar dikenali sebagai pengasas dan musyidul am Jemaah Islamiah (JI) yang dikatakan ada kaitan kumpulan pengganas al-Qaeda dalam melakukan serangan bom di Bali sehingga mengorbankan 202 nyawa, kebanyakannya pelancong asing.

Beliau pernah dipenjara selama beberapa tahun kerana terlibat dengan kumpulan itu tetapi dibebaskan pada tahun 2006.

Pihak berkuasa menemui sebuah kem latihan militan itu pada Februari lalu dan mereka dikaitkan merancang untuk membunuh Presiden Indonesia dan meneruskan serangan ala Mumbai ke atas pelancong asing.

Berpuluh-puluh suspek dikaitkan dengan kumpulan yang menggelarkan diri mereka Al-Qaida di Aceh ditahan atau dibunuh beberapa bulan lalu.

Khabar angin tersebar luas beberapa minggu ini bahawa Abu Bakar berada dalam senarai terbaru mereka. - AP

Artikel Lain