suria

Nigeria Akan Ambil Alih Jawatan Pengerusi D-8

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menyerah jawatan pengerusi Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) kepada Nigeria semasa sidang kemuncak D-8 di negara Afrika Barat itu bulan depan.

Pesuruhjaya Tinggi Nigeria ke Malaysia, Peter J. E Anegbeh berkata Nigeria akan mengambil alih jawatan pengerusi D-8 apabila negara itu menjadi tuan rumah Persidangan Kemuncak Ketujuh D-8 di Abuja, ibu negara Nigeria itu, pada 8 Julai.

Malaysia memegang jawatan pengerusi D-8 pada 8 Julai 2008 semasa Sidang Kemuncak Keenam di Kuala Lumpur. D-8 dianggotai Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki.

"Semua persediaan sebagai tuan rumah persidangan itu berjalan lancar," kata Anegbeh kepada Bernama dalam satu temu bual di sini.

Anegbeh berkata ini merupakan kali pertama Nigeria menjadi tuan rumah persidangan itu.

Persidangan Kemuncak sulung berlangsung di Istanbul pada 1997. Persidangan itu merupakan organ penting untuk para Ketua Negara dan Kerajaan negara anggota D-8.

Dengan lebih daripada 155 juta penduduk, Nigeria merupakan negara demokrasi terbesar di Afrika dan mempunyai ekonomi kedua terbesar, dengan negara yang kaya dengan minyak itu juga dikenali sebagai "Land of Opportunities" (Bumi Pelbagai Peluang) kerana pelbagai potensi ekonominya.

Anegbeh berkata serentak sidang kemuncak itu, pelbagai mesyuarat berkaitan akan turut berlangsung dari 4 Julai, seperti mesyuarat Suruhanjaya D-8, mesyuarat Majlis Menteri D-8, mesyuarat Dewan Perniagaan D-8 dan mesyuarat Gabenor Bank Pusat D-8.

D-8 ditubuhkan pada 15 Jun 1997 sebagai satu forum untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang dan untuk memajukan status ekonomi negara-negara anggota yang kini mempunyai gabungan penduduk lebih daripada 900 juta orang, dan untuk meningkatkan kedudukan negara anggota dalam ekonomi global.

Antara bidangutama kerjasama ialah tenaga, sains dan teknologi, perbankan, kewangan, pembangunan luar bandar, pertanian, alam sekitar dan kesihatan.

Anegbeh juga berkata antara agenda penting persidangan itu ialah Hala Tuju bagi Kerjasama Ekonomi D-8 (2008-2018).

Hala tuju yang telah diluluskan pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur pada 2008 itu, bermatlamat menggalakkan kerjasama ekonomi yang lebih maju antara negara anggota dan untuk membantu dalam menggerakkan sumber-sumber daripada sektor kerajaan dan swasta dalam melaksanakan projek-projek D-8. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain