suria

Gaza: Turki Tuduh Israel Ceroboh Hak Asasi Manusia

PETALING JAYA: Beberapa media asing melaporkan kerajaan Israel didakwa telah menahan 480 aktivis pro-Palestin dalam konvoi kapal misi bantuan ke Semenanjung Gaza semalam.

Radio Awam Israel melaporkan pihak berkuasa negara itu juga akan melepaskan 48 tahanan lain.

Mereka yang ditahan kini berada dalam penjara Ashdod di selatan Israel.

Sementara itu, 48 daripada mereka yang ditahan akan dibebaskan.

Mereka akan dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.

CNN melaporkan, Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu menuduh Israel melakukan pencerobohan antarabangsa kerana membunuh pasukan yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Beliau berkata demikian pada mesyuarat tergempar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pagi tadi.

“Tidak ada negara yang berada di atas undang-undang. Israel perlu bertanggungjawab terhadap jenayah yang telah dilakukannya,” kata Davutoglu.

Turki turut memanggil balik dutanya di Israel disamping membatalkan tiga aktiviti tentera dengan kerajaan Yahudi serta menggesa Israel memohon maaf.

Selepas menerima kritikan bertubi-tubi daripada seluruh dunia wakil tetap PBB dari Israel, David Carmon mendakwa serangan tentera Israel itu berlaku kerana pasukan bantuan kemanusiaan tersebut dikatakan menceroboh perairan Gaza.

“Jika kapal tersebut membawa bantuan kemanusiaan, kerajaan Israel sudah pasti tahu dan menerima kedatangan mereka sejak semiggu yang lalu.

“Kami sudah pastu membenarkan mereka menggunakan pelabuhan Ashdod untuk menghantar bantuan terus ke Gaza dengan menggunakan jalan darat mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Carmon mendakwa, antara mereka yang ditahan ialah aktivis Palestin disamping ahli Pertubuhan Hak Asasi dan Kebebasan (IHH) daripada Turki yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas, al-Qaeda. Sementara itu di London, BBC melaporkan Perdana Menteri Britain, David Cameron menuntut rakan sejawatnya dari Israel, Benjamin Netanyahu agar segera memberi "rekssi konstruktif" terhadap kritikan yang diterima berikutan tindakan askarnya menyerang kapal bantuan misi kemanusiaan Gaza, semalam.

Cameron memberitahu Netanyahu dalam perbualan menerusi telefon bahawa Britain prihatin terhadap kejadian mengancam nyawa berikutan sembilan dilaporkan maut selepas komando Israel menyerang kapal berkenaan.

“Cameron memberitahu mengenai komitmen United Kingdom terhadap keselamatan di Israel tetapi mahu negara itu memberi reaksi terhadap kritikan berikutan tindakan terbarunya itu.

"Beliau juga mahu Israel membuat apa saja yang perlu bagi membendung berulangnya kejadian sama selepas ini," kata jurucakap Perdana Menteri itu.

“Perdana Menteri juga menekankan betapa pentingnya sekatan terhadap Gaza ditarik balik dan memberi laluan kepada kemasukan bantuan kemanusiaan untuk masyarakat Palestin yang memerlukan," kata jurucakap itu.

Awal semalam, Setiausaha Luar Negara Britain, William Hague mahu "satu siasatan bebas dan menyeluruh' dilakukan berikutan kejadian yang berlaku di perairan Gaza.

Seorang warga Britain dilaporkan cedera dalam serangan askar Israel itu. Sehingga kini nasib 11 rakyat Malaysia termasuk dua krew televisyen Astro Awani yang berada atas kapal Mavi Marmara yang diserang tentera Israel pagi semalam masih belum diketahui.

Setakat tengah malam tadi, sekurang-kurangnya 19 orang dilaporkan mati dan berpuluh lain cedera dalam serbuan komando Israel ketika kapal itu berada di perairan antarabangsa, di luar pantai Gaza.

Mereka yang menyertai misi bantuan kemanusiaan itu ialah Noorazman Mohd Shamsuddin, Dr Mohd Arba Ai Shawal, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hassan, Dr Selamat Aliman, Jamaluddin Elias, Al Hami Hussian Suhaimi, Mohd Nizam Mohamad, Abd Halim Mohamed Redzuan, Hasanuddin Aqsi As Syarif.

Dua krew Astro Awani ialah wartawan Ashwad Ismail dan jurukamera, Samsul Kamal Abdul Latip.

Artikel Sebelum

Artikel Lain