suria

Kesedaran Pasaran Itali Terhadap Sektor Pelancongan Malaysia Perlu Ditingkatkan - Ng

MILAN: Terdapat keperluan untuk usahasama bersinergi di kalangan pengusaha pelancongan bagi mewujudkan kesedaran pelbagai kumpulan dalam pasaran Itali terhadap Malaysia, kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen. Bercakap dalam pertemuan dengan pengusaha pelancongan Itali di Hotel Savaoia, Principe di sini semalam, menteri itu berkata banyak yang perlu dilakukan dalam pasaran Itali untuk mempromosi antara lain ekopelancongan, program meningkatkan ikatan kekeluargaan dan gaya hidup, yang ditawarkan Malaysia.

Dr Ng, yang sedang dalam lawatan empat hari ke sini, berkata kementeriannya sedang mengkaji cara-cara untuk meningkatkan kesedaran dalam pasaran Itali untuk membawa lebih banyak pelancong negara itu ke Malaysia.

"Saya ingin membawa kumpulan kebudayaan kami untuk membuat persembahan di bandar anda dan menyertai festival-festival anda," katanya kepada pengusaha pelancongan itu, ketika menjelaskan mengenai kekayaan dan keunikan budaya Malaysia yang dijangka mampu menarik minat pelancong Itali.

Beliau bersetuju bahawa seperti Munich, Jerman, terdapat keperluan bagi penerbangan terus dari Milan ke Malaysia.

"MAS perlu menimbangkan Milan. Jika MAS tidak boleh, kita akan beralih kepada AirAsia yang sudahpun menawarkan penerbangan terus ke London serta banyak lagi tempat lain," katanya sambil menambah bahawa Tourism Malaysia akan bekerjasama dengan syarikat penerbangan yang dapat membawa pelancong ke Malaysia.

Mengenai pergolakan politik di Thailand, Dr Ng mengulangi pendirian Malaysia bahawa memandangkan negara itu menganggotai Asean, maka penting bagi negara anggota lain saling membantu.

"Kita tidak berhasrat mengambil kesempatan ekoran situasi tersebut kerana penurunan ketibaan pelancong ke negara itu juga akan memberi kesan kepada sesiapa saja," katanya.

Bagaimanapun, beliau bersetuju bahawa terdapat pelancong yang melencongkan destinasi mereka ke Malaysia.

"Kita mendapat sejumlah besar pelancong sedemikian dari China dan India tetapi pelancong jauh terutama dari UK, lebih berhati-hati," katanya.

Lawatan kerja seminggu itu juga telah membawa Dr Ng ke London dan Munich yang turut menyaksikan minat mendalam di kalangan pengusaha pelancongan mengenai perkembangan di Thailand.

Mereka berminat untuk mengetahui bagaimana Malaysia mendapat faedah daripada situasi politik negara jiran yang sedang bergolak itu.

Sementara itu, seorang pengusaha pelancongan Manuel E Cazzaniga dari syarikat pelancongan Seiviaggi, berkata terdapat minat yang baik dalam pasaran Itali terhadap Malaysia dan potensinya adalah besar.

"Saya rasa Malaysia boleh dipromosi secara keseluruhan, tidak hanya pusat peranginan dan pantai yang cantik sahaja, tetapi juga budayanya, kepelbagaian etnik yang dimiliki dan kualiti kehidupan serta keramahan rakyatnya, selain kemungkinan melabur di negara itu. Inilah perkara yang tidak diketahui oleh orang di negara ini tentang Malaysia," katanya.

Bagi Profesor Franco Brevini, bahasa tidak menjadi masalah dalam empat kunjungannya ke Malaysia dan beliau seronok melakukan ekspedisi ke Sarawak, mendaki Gunung Kinabalu dan meneroka struktur geologi serta pulau yang disifatkannya sebagai syurga tropika.

"Malaysia ialah sebuah destinasi di mana anda boleh berjalan, mendaki dan menyelam untuk membongkar rahsia alamnya," katanya sambil menambah bahawa beliau telah memperkenalkan Malaysia kepada warga Itali yang sukakan aktiviti luar. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain