suria

Anifah Ketuai Delegasi Malaysia Ke AEMM

KUALA LUMPUR: Malaysia akan mengetuai perbincangan berhubung proses perdamaian Asia Barat pada Mesyuarat Peringkat Menteri Asean-Kesatuan Eropah (AEMM) ke-18 di Madrid, Sepanyol yang berlangsung hari ini.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat itu.

Dalam mesyuarat peringkat menteri itu, Menteri-Menteri Luar akan bertukar pandangan mengenai isu-isu penting termasuk seni bina serantau Asia-Timur, perubahan iklim dan alam sekitar, krisis ekonomi dan akibatnya, cabaran keselamatan tradisional dan bukan tradisional bersama dengan cabaran global yang lain dan yang menjadi kebimbangan bersama pada Asean dan Kesatuan Eropah (EU).

Mesyuarat peringkat menteri itu akan didahulukan dengan mesyuarat pegawai-pegawai kanan (SOM) hari ini, kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan di sini.

Mesyuarat peringkat menteri yang bertemakan, 'Asean-EU: Partners in Regional Integration' akan menyediakan peluang bagi kedua-dua belah pihak menimbang dan menilai usaha mereka untuk mengkaji semula demi meningkatkan perkongsian Asean-EU.

"Bertepatan dengan tema mesyuarat adalah mustahak bagi kedua-dua belah pihak untuk mengambil langkah konkrit, praktikal dan segera bagi menetapkan hala tuju masa depan," kata kenyataan itu.

Mesyuarat itu juga akan menandakan sambutan ulangtahun ke-30 kerjasama rasmi antara Asean dan EU dengan termeterainya Perjanjian Kerjasama Suruhanjaya Asean-Eropah pada 7 Mac 1980.

Kata kenyataan itu, Menteri-Menteri Luar tersebut dijangka menerima kenyataan pengerusi bersama AEMM ke-18, Senarai Indikatif Aktiviti untuk Pelan Tindakan Melaksanakan Deklarasi Nuremburg Untuk Meningkatkan Perkongsian Asean-EU (2011-2012) dan Agenda Phnom Penh bagi Pelaksanaan Pencapaian Pelan Tindakan Asean-EU (2009-2010) setakat ini.

Sepanjang tiga dekad yang lepas, kerjasama Asean-EU telah berkembang luas meliputi pelbagai bidang yang luas termasuk politik dan keselamatan, ekonomi dan perdagangan, begitu juga sosio budaya dan kerjasama pembangunan.

Deklarasi Nuremburg Asean-EU Untuk Meningkatkan Perkongsian dan Pelan Tindakan untuk melaksanakan deklarasi ini, yang digunapakai pada Sidang Kemuncak Peringatan Asean-EU pada 22 Nov 2007 telah menyediakan visi dan pelan komprehensif bagi meningkatkan perkongsian Asean-EU.

Pada AEMM ke-17 di Phnom Penh, Kemboja pada Mei 2009, Agenda Phnom Penh Untuk Pelaksanaan Pelan Tindakan Asean-EU telah disahkan yang mana ia berperanan sebagai rancangan tindakan untuk mendalami dan memperhebat kerjasama antara Asean dan EU bagi 2009-2010.

Di luar mesyuarat itu, Anifah dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari Asean dan EU. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Gempa Kuat Di Brazil

Artikel Lain