suria

Malaysia Komited Tambah Makanan Untuk Keamanan Sejagat - Muhyiddin

ROME: Malaysia komited untuk meningkatkan pengeluaran makanan dunia yang semakin runcing supaya bekalannya terjamin bagi memastikan keamanan sejagat berterusan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin

Timbalan Perdana Menteri berkata jika isu berkenaan tidak diatasi dengan bersungguh-sungguh, ia akan menjadi beban dan menjejaskan bekalan makanan dan keselamatan dunia.

"Kita sedar dan berkongsi sama isu dan masalah ini. Kita tahu betapa sukar untuk menguruskan hal ini kalau tiada kesungguhan untuk mengatasinya di kalangan negara maju dan membangun.

"Isu ini besar dan memang serius kerana kalau tiada kesungguhan dalam mengatasi pengeluaran pertanian, kemiskinan akan terus meningkat dan ini akan menggugat keamanan dunia," katanya kepada wartawan Malaysia.

Muhyiddin mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Keselamatan Makanan Dunia anjuran Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB), yang berlangsung di sini selama tiga hari bermula Isnin.

Muhyiddin dijadual menyampaikan pernyataan negara mengenai pelaksanaan perubahan tadbir urus global berhubung keselamatan makanan pada Selasa.

Beliau menyertai lebih 60 ketua negara dan kerajaan dalam sidang kemuncak itu yang mahu satu momentum baru digerakkan bagi membasmi kebuluran yang menjejaskan 1.02 bilion penduduk dunia.

Muhyiddin berkata bahawa di Malaysia, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, merupakan satu daripada agensi utama yang mempelopori usaha meningkatkan pengeluaran makanan dan usaha itu yang kini hampir berjaya.

"Namun perlu ada usaha berterusan terutama dalam menangai masalah kemiskinan. Kita sudah sepakat, insyaAllah tahun depan untuk menghapuskan kemiskinan tegar.

"Peratusannya juga telah menurun kepada 2.7 peratus. Saya berharap kita dapat mengatasinya, dan kemiskinan relatif lain, kita akan teruskan," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berharap menerusi sidang kemuncak itu, negaranegara maju khususnya, boleh memberikan komitmen bagi mengatasi masalah kemiskinan.

Ini kerana, beliau berkata, statistik PBB menunjukkan hampir satu bilion masyarakat dunia kini menghadapi masalah kebuluran berbanding 800 juta orang dalam tempoh dua tahun lepas.

"Pada tahun ini, jumlah golongan miskin bertambah kepada 1.5 bilion dan ini merupakan beban besar kepada dunia.

"Sidang kemuncak ini diharap dapat mencapai satu persefahaman bagaimana masyarakat dunia dapat memastikan segala usaha untuk membantu soal pengeluaran dan keselamatan jaminan makanan tercapai," katanya.

Dalam persidangan negara-negara G8 sebelum ini, terdapat kesedaran untuk mewujudkan dana RM20 bilion bagi membantu negara membangun dan miskin tetapi tidak diketahui berapa banyak yang dikumpul dan disalurkan setakat ini, kata Muhyiddin.

Beliau berkata antara objektif sidang kemuncak itu ialah usaha untuk menghapuskan kemiskinan sejagat dan melaksanakan satu sistem pengurusan yang lebih berkesan dan bersepadu.

Katanya, ia juga akan membincangkan soal membuat keputusan berkaitan dengan asas saintifik dan teknikal tentang cara bagaimana masalah bekalan makanan dan keselamatan makanan dapat diuruskan.

Muhyiddin berkata sidang kemuncak itu merupakan satu platform yang dapat menentukan sejauh mana negara maju dan membangun boleh mengatasi masalah secara bersama.

Turut menghadiri sidang kemuncak itu ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar. BERNAMA

Artikel Lain