suria

Jemaah Haji Malaysia mula masuki Mekah Rabu ini

MEKAH: Jemaah haji Malaysia akan mula memasuki kota Mekah secara berperingkat bermula Rabu ini bagi mengerjakan umrah sementara menunggu musim haji pada penghujung bulan depan.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Salleh Abd Mubin berkata semua 26,000 jemaah haji Malaysia di jangka tiba di Mekah pada 21 November ini iaitu lima hari sebelum wukuf di Padang Arafah.

Beliau berkata kumpulan pertama jemaah Haji Malaysia yang akan memasuki Mekah Rabu ini terdiri daripada mereka yang menaiki penerbangan pertama setelah berada di Madinah selama lapan hari.

Bercakap kepada pasukan petugas media yang membuat liputan musim haji tahun ini beliau berkata para petugas di 10 tempat penginapan atau maktab Tabung Haji di Mekah sudah bersiap sedia untuk menerima ketibaan jemaah haji itu.

"Para petugas yang kini dtempatkan di Madinah dan Jeddah akan dipindahkan di Mekah apabila kesemua jemaah haji Malaysia berada Mekah nanti," katanya.

Mohd Salleh yang juga Pengurus Besar Kanan (Haji) Tabung Haji berkata pihak muasassah (pengendali jemaah haji) Arab Saudi akan menyediakan antara 30 hingga 40 buah bas yang akan membawa jemah haji ke Mekah mengikut jadual yang ditetapkan.

"Saya harap perjalanan jemaah haji dari Madinah ke Mekah akan berjalan lancar tanpa sebarang masalah di luar jangkaan," katanya.

Beliau berkata para petugas Tabung Haji juga akan digerakkan ke Arafah, Mina dan Mudzalifah bagi membantu jemaah haji ketika wukuf serta ketika melakukan ibadah melontar jamrah mengikut waktu yang telah ditetapkan.

"Daripada pengalaman lepas, jemaah haji Malaysia dapat menjalankan ibadah haji dengan licin dan lancar. Justeru saya berharap para jemaah tahun ini akan memanfaatkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh para petugas Tabung Haji seperti perubatan dan kaunseling bagi memastikan mereka dapat menjalankan ibadah dengan sempurna," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain