suria

Abhisit, Najib lawat Thailand hujung tahun

BANGKOK: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Thailand Abhisit Vejjajiva dijangka akan mengadakan lawatan bersama ke tiga wilayah bergolak di selatan Thailand hujung tahun ini.

Abhisit berkata, lawatan itu dijangka berlangsung antara bulan Oktober dan Disember ini.

"Saya sudah menjemput Perdana Menteri Malaysia untuk melawat tiga wilayah berhampiran sempadan Thailand-Malaysia. Kami bersetuju untuk melawat sekolah-sekolah di sana," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet di sini hari ini.

Abhisit yang melawat Malaysia bulan lepas berkata lawatan itu mungkin akan diadakan semasa rundingan tahunan antara pemimpin kedua-dua negara.

Beliau berkata, dalam lawatannya ke Malaysia, beliau memohon kerjasama Najib untuk mencari penyelesaian secara aman terhadap konflik di wilayah bergolak itu, yang menyaksikan 3,500 nyawa terkorban sejak kumpulan pemisah memulakan kembali kempen bersenjata menuntut kemerdekaan buat Pattani, Narathiwat and Yala.

Katanya Thailand memohon bantuan Malaysia dalam beberapa isu, termasuk berkaitan sempadan, perkongsian risikan, pembangunan, dan juga bidang pendidikan, keusahawanan dan ekonomi (3E).

Abhisit seterusnya mengumumkan kerajaan Thailand melanjutkan perintah darurat untuk tempoh tiga bulan lagi di ketiga-tiga wilayah itu, yang akan berkuat kuasa untuk tempoh antara 19 Julai dan 19 Oktober.

Beliau berkata, pada masa yang sama Kabinet turut mengarahkan Majlis Keselamatan Negara untuk mengkaji keperluan perintah darurat dikenakan di empat daerah Songkhla yang bersempadan dengan tiga wilayah majoriti kaum Muslim di selatan negara itu.

Katanya, penggunaan perintah darurat di kawasan itu ada kelebihan dan ada kelemahannya.

Menurutnya, dari segi kelebihan ia dapat membantu pihak berkuasa menangani kumpulan pemisah, namun pada masa yang sama ia melanggar hak asasi manusia dan akan meningkatkan simpati buat kumpulan pemisah. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain