suria

Polis Indonesia tangkap rakan Selamat Kastari

JAKARTA: Pasukan khusus anti-pengganas polis Indonesia, Densus 88, menangkap Syamsul, 50, anggota pengganas jaringan Selamat Kastari, di sebuah rumah di Jalan Hayam Wuruk, Tanjung Karang Timur, Bandarlampung pada petang Ahad.

Laporan agensi berita Antara dari Bandarlampung Rabu memetik Pengarah Siasatan Jenayah Polis Daerah Lampung Darmawan Sutawijaya sebagai berkata penangkapan itu dilakukan setelah polis mengintipnya selama tiga bulan.

Dari penyelidikan polis, dia merupakan seorang anggota jaringan pengganas Mas Selamat Kastari dan Fajar Taslim yang pernah merancang untuk mengebom Lapangan Terbang Changi di Singapura.

Syamsul merupakan warganegara Singapura yang bekerja sebagai tukang beca di kawasan Pasar Tugu, Bandarlampung.

Seorang anggota Densus 88 Polis Daerah Lampung, Anwari berkata Syamsul adalah anak buah Selamat Kastari dan didapati telah berkalikali melakukan pemalsuan identiti selepas pertama kali memasuki Indonesia dan menetap di Tulung Agung di Jawa Timur, sebelum berpindah ke Lampung sejak tiga tahun lepas.

"Dia sudah fasih berbahasa Indonesia, walaupun sesekali lidahnya masih sering terpeleset mengucapkan bahasa Melayu," katanya yang menjelaskan bahawa Syamsul tidak melawan ketika ditangkap. BERNAMA

Artikel Lain