suria

Indonesia akan henti hantar pekerja

JAKARTA: Indonesia mengarahkan agensi-agensi pekerjaan untuk menghentikan penghantaran rakyatnya ke Malaysia untuk bekerja sebagai pembantu rumah ekoran terdapat banyak aduan daripada pekerja-pekerja berhubung kes penderaan.

Langkah itu akan berkuatkuasa Jumaat ini dan akan kekal sehingga langkah perlindungan diatur di Malaysia, kata Menteri Sumber Manusia Indonesia, Erman Suparno.

Satu perbincangan peringkat tertinggi akan diadakan pada 15 Julai depan dengan rakan sejawatnya dari Malaysia mendapatkan satu resolusi, katanya.

Berdasarkan rekod lebih daripada 300,000 wanita Indonesia bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia.

Sekitar 3,000 orang pembantu rumah baru dihantar ke Malaysia setiap bulan, kebanyakan daripada mereka ditempatkan melalui agensi-agensi pekerjaan khusus.

Terdapat kira-kira 150 aduan telah difailakan setiap bulan kepada pihak berkuasa Indonesia yang mendakwa wujudnya penganiayaan, kerja keras, gaji-gaji tidak dibayar dan penderaan fizikal di Malaysia.

Dalam kejadian terbaru, akhbar-akhbar di negara ini menjadikan tajuk muka depan penderaan pembantu rumah dari Indonesia, Siti Hajar yang mengalami kecederaan teruk selepas dia didakwa didera oleh majikannya di Malaysia selama tiga tahun.

Pembantu rumah berusia 33 tahun dari Jawa Barat didakwa telah dipukul dengan rotan dan disimbah dengan air panas oleh majikannya.

Majikannya telah didakwa Khamis lalu dan jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara selama 20 tahun. -AP

Artikel Lain