suria

Rupanya baju Melayu ‘belanja’ puting, tayang bulu kaki dapat sambutan... Tapi kalau tak yakin boleh tukar material

Baju Melayu rekaan Arma yang menjadi bualan ramai.

VIDEO seorang model lelaki memperagakan bayu Melayu see-through yang menampakkan sosok tubuh dan putingnya kecoh menjadi perbualan netizen di media sosial.

Bukan sahaja baju, seluar potongan longgar yang dipakai model berkenaan juga jarang hingga hingga kelihatan bahagian kaki.

Menjawab kritikan ramai, pereka Arma Abdul Rahman berkata dia tidak berniat untuk 'melucahkan' busana tradisional, sebaliknya karya itu dihasilkan untuk tujuan pertunjukan fesyen semata-mata.

"Baju Melayu itu viral kerana penggunaan material yang jarang, tapi ia masih mengekalkan potongan asli dan ciri-ciri tradisional. Saya tak berniat untuk 'melucahkan' baju atau mahu viral.

"Ia hanyalah helaian untuk pertunjukan fesyen saja, untuk previu koleksi raya. Ia adalah sampel. Jadi bila pelanggan datang nak tempah, kita sesuaikan ikut permintaan mereka.

arma2

Arma baru sahaja melancarkan koleksi raya terbaharunya.

"Mereka boleh tukar material kalau mahu tempah. Jika nak pakai dengan singlet atau t-shirt di dalamnya pun boleh," ujar pereka itu kepada mStar.

Di sebalik kecaman yang diterima, insan di sebalik jenama Arma Couture itu mendedahkan dia menerima kira-kira 20 tempahan baju Melayu berkenaan setakat ini.

Tambah Arma, baju Melayu yang diberi sentuhan berbeza bukanlah satu trend baharu, sebaliknya ia pernah dihasilkan oleh beberapa pereka berbeza sebelum ini.

"Helaian-helaian begini pereka senior dah buat. Mungkin netizen sekarang tak pernah tengok. Baju jarang ni zaman dulu pun ada.

arma3

Busaan rekaan Arma yang diperagakan di The Avenoir pada 25 Februari lalu.

"Benda ni tak pelik, atuk nenek kita dulu tak berbaju. Jadi fesyen adalah fesyen. Janganlah nak kaitkan dengan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)," pesannya lagi.

Untuk rekod, Arma baru sahaja mengadakan pertunjukan fesyen di The Avenoir, Equestrian Park Putrajaya pada 25 Februari lalu.

Dalam acara itu, Arma mempersembahkan 30 rekaan ‘Made to Measure’ atau ‘Luxe Collection’ yang terdiri daripada potongan kurung klasik dan kontemporari.

Antaranya baju kurung, kebaya, pesak gantung, kebarung, kurung moden dan sebagainya.

Arma turut menawarkan helaian Baju Melayu klasik teluk belanga dengan potongan longgar yang ditaburi bunga emas dan perak, menggunakan material syifon.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain