suria

Sekeluarga badan lebam-lebam, ditindih makhluk berbulu... ibu syak ada kaitan tilam arwah Pak Teh, ustaz dedah pendendam jadi punca!

Disebabkan sebuah tilam, seluruh ahli keluarganya diganggu makhluk halus.

KELIBAT ibu sudah terpacak di pintu rumah ketika Ben sampai selepas hampir lima jam memandu dari Kuala Lumpur ke kampung halamannya di Kota Tinggi, Johor.

Ketika bersalaman dengan ibunya, Ben ternampak kesan merah dan lebam pada pergelangan tangan emak seperti bekas disengat binatang berbisa.

ARTIKEL BERKAITAN: Meremang! Ada masa anak menangis, kadang tersenyum pandang anak patung... si ibu pernah alami hijab terbuka dapat jawapan selepas rasa sesuatu tak kena

"Saya fikir tangan mak digigit lipan tapi katanya bukan, lebih pelik apabila mak beritahu bukan dia seorang yang mengalami perkara itu sebaliknya semua orang dalam rumah turut mengalami perkara sama.

"Kata mak, paha ayah menjadi lebam manakala adik-beradik lain pun mengalami perkara sama. Ada lebam di lengan, leher dan dada," katanya.

Cerita Ben, ibunya memberitahu semua ahli keluarga mengalami perkara sama dalam satu hari yang sama, cuma bahagian kesan kemerahan dan lebam berbeza.

Tilam

Tindakan Ben mengalihkan tilam di rumah bapa saudaranya telah menyebabkan pelbagai gangguan.

Jenuh Ben berfikir punca kesan lebam itu namun tiada satu pun perkara logik yang mampu difikirkannya melainkan ada perkara misteri berlaku kepada keluarganya.

Tilam puaka jadi punca?

Dalam serius berfikir tentang logik kejadian menimpa keluarganya, ibunya tiba-tiba bertanya sama ada dia pernah melakukan apa-apa perkara pelik ketika menziarah rumah bapa saudaranya yang meninggal dunia dua minggu sebelumnya.

"Saya terus teringat peristiwa tilam katil yang pernah digunakan arwah Pak Teh masa arwah sakit. Teringat tilam itu nampak seperti melengkung di bahagian tengah.

"Beberapa kali saya cuba menepuk tilam itu supaya bahagian yang melengkung itu menjadi rata tetapi ia tetap kembali kepada keadaan asal," katanya.

Ben tersentak apabila ibunya turut membangkitkan soal tilam tersebut dan memberitahu beberapa saksi melihat Ben mengalih-alihkan tilam itu.

Tetapi persoalannya, apa kaitan tilam itu dengan lebam pada tubuh mak, ayah dan adik-beradiknya? Ibunya merasakan bapa saudaranya itu mempunyai pendamping yang mungkin turut setia menunggunya di atas tilam itu sepanjang bapa saudaranya itu terlantar sakit.

2072052334

Paling menakutkan apabila Ben ditindih makhluk tersebut dalam keadaan sedar.

"Mak merasakan ada benda dekat rumah Pak Teh yang marah sebab mengganggu tilam itu dan sebab itu ia datang mengamuk dan menyerang semua ahli keluarganya.

"Tetapi saya enggan mempercayainya kerana yakin bapa saudara saya tidak akan melakukan perkara-perkara ditegah agama seperti itu," katanya.

Malam itu, Ben bercadang untuk tidur di tingkat atas rumahnya manakala ibu, bapa dan adik-beradik lain sudah terbiasa tidur 'melambak' di bahagian ruang tamu rumah.

Tapi entah mengapa, Ben sukar melelapkan mata - mungkin keadaan agak panas fikirnya. Hanya ketika jam menunjukkan pukul 1 pagi Ben mula berasa mengantuk selepas puas membelek telefonnya.

"Belum sempat saya melelapkan mata, telinga saya menangkap satu suara garau yang memanggil nama saya dari luar rumah... bukan sekali tapi tiga kali nama saya dipanggil seseorang.

"Kerana rasa mengantuk saya abaikan panggilan nama saya itu sebelum saya dikejutkan bunyi geseran agak kuat berulang kali di luar tingkap bilik.

Barulah saya faham apa sedang menimpa ahli keluarga saya dan jawapan kepada semua lebam yang terdapat di badan mereka.

BEN

"Ketika itu juga mata saya ternampak sesuatu... dalam cahaya lampu samar-samar, kelihatan satu lembaga hitam berbulu tebal sedang berdiri di sudut bilik sambil matanya memandang tepat ke arah saya.

"Saya cuba anggap itu mimpi tetapi apabila melihat susuk makhluk itu yang berbulu tebal, gigi putih menyeringai dan matanya yang besar, saya tahu itu bukan mimpi!,"ujarnya.

Seperti digari, ditindih lembaga hitam

Ben cuba bangun daripada katil tetapi tangan dan kakinya seperti digari. Segalanya kaku seperti orang lumpuh. Cubaan menjerit meminta tolong juga tidak berjaya kerana lidahnya seperti kelu, tidak dapat digerakkan.

Dalam ketakutan melihat makhluk itu berdiri di bucu dinding, Ben cuba menjerit sekuat hati apabila makhluk itu bertenggek di atas tubuhnya yang dalam posisi terlentang.

"Saya masih ingat, ia duduk mencangkung di antara perut dan dada saya. Dada dan perut rasa sakit dan sukar bernafas. Meskipun badan tak dapat bergerak, tapi mata saya masih dapat melihat segala-galanya.

"Saya cuba memandang tepat matanya kerana saya pernah terdengar orang beritahu kalau hendak lawan makhluk halus, tatap ke dalam anak matanya kerana iblis takut dengan pandangan mata anak Adam.

tanda-tanda-makhluk-halus-ada-dalam-rumah

Makhluk itu daripada pandangan selepas bapa Ben masuk ke bilik.

"Nampaknya cubaan itu sia-sia apatah lagi saya tak sanggup melihat matanya yang merah menyala, lidahnya terjelir dengan gigi taring yang panjang cukup menakutkan," katanya.

Tiba-tiba terdengar ketukan sangat kuat di pintu bilik sambil namanya dipanggil berulang kali dengan suara yang kuat. Lembaga hitam tersebut kelihatan melompat ke siling bilik dan menghilang di celah daun tingkap yang tertutup rapat.

Bapanya menerpa masuk dan memetik suis lampu dan terkejut melihat wajahnya yang pucat dan rentas nafas yang laju. Seperti memahami apa sedang berlaku, bapanya hanya memintanya bertenang dan memberitahu semuanya sudah selamat.

"Sehingga ke pagi saya tak boleh tidur... rasa sakit pada tubuh akibat tindihan masih terasa, kepala juga rasa berat. Ketika bangun mandi, saya lihat ada kesam lebam di beberapa tempat pada lengan dan perut.

"Barulah saya faham apa sedang menimpa ahli keluarga saya dan jawapan kepada semua lebam yang terdapat di badan mereka," ceritanya.

Gangguan dihantar ganggu bapa saudara sakit

Bagi mencari jawapan kepada misteri yang sedang berlaku kepada ahli keluarga dan dirinya, kata Ben, dia bersama bapanya mengambil keputusan berjumpa dengan seorang ustaz.

852411

Gangguan itu telah membuatkan Ben sekeluarga trauma.

Selepas bercerita tentang gangguan yang berlaku selain kesan lebam di badan, ustaz berkenaan meneliti kesan lebam pada paha bapa dan perutnya sebelum menggeleng-gelengkan kepala.

"Kata ustaz jika dilihat pada kesan lebam, benda yang mengganggu itu kuat dan boleh jadi gangguan akan berterusan sekiranya sesuatu tidak dilakukan.

"Ketika ustaz datang ke rumah, dia terus berjalan ke arah rumah Pak Teh yang terletak berdekatan dengan rumah kami dan wajahnya kelihatan berkerut. Ralit ustaz merenjiskan air bersama bahan seperti garam sambil mulutnya membacakan sesuatu," katanya.

Teringatkan sangkaan ibunya mengenai Pak Teh, Ben bertanya kepada ustaz memandangkan dia turut 'membersihkan' rumahnya namun berasa lega apabila ustaz memberitahu makhluk itu bukan kepunyaan bapa saudaranya.

Sebaliknya, makhluk itu dihantar oleh seseorang ketika melawat arwah mungkin disebabkan dendam terhadap keluarga bapa saudaranya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain