suria

Rakaman audio hasilkan suara misteri, patutlah angin kencang ketika Ulek Mayang didendang

Persembahan Ulek Mayang dikatakan mempunyai 'semangatnya' yang tersendiri. Foto CHAN TAK KONG

BIASA dengar lagu Ulek Mayang? Lagu ini antara lagu rakyat yang popular didendangkan. Pernah dengar orang kata lagu ini ‘berhantu’? Jika ada yang buat persembahan, pelakonnya mudah kena rasuk. Kononnya, lagu ini ada semangatnya sendiri.

Pada mulanya, saya sendiri tidak percaya dengan semua itu. Takkanlah sekadar menyanyi boleh jadi benda-benda pelik. Tapi, setelah saya saksikan sendiri, baru saya percaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bau kapur barus seperti ada orang mati di tingkat 3 hotel

ARTIKEL BERKAITAN: Jika terserempak wanita Inggeris berpakaian era 1950-an, mungkin itu Nona Baker... pelakon pernah kaku ketika ‘shooting’

Kejadian ini berlaku lebih kurang tujuh tahun lepas. Ketika itu, saya menuntut di tahun akhir di sebuah institusi pengajian tinggi. Saya bersama sembilan pelajar lain di hantar ke Langkawi untuk mengikuti satu seminar.

Pada hari akhir di sana, semua pelajar diminta melakukan persembahan mewakili institusi masing-masing untuk majlis penutup. Kumpulan saya yang terdiri daripada 10 ahli pada mulanya memilih untuk mementaskan lagu Ulek Mayang.

Pelakon persembahan Ulek Mayang dikatakan senang terkena rasuk. - Gambar Sekadar Hiasan 

Saya ingat lagi, malam itu ahli kumpulan kami berkumpul di tepi pantai untuk berbincang tentang persembahan kami. Abang Bad, salah seorang ahli kumpulan turut membawa gitar dan alat perakam. Dia mencadangkan untuk kami merakamkan dahulu nyanyian lagu Ulek Mayang tersebut.

Daripada enam orang ahli perempuan dalam kumpulan kami, vokal Rozita paling baik. Jadi, kami suruh Rozita cuba menyanyikan lagu itu seorang diri. Diiringi petikan gitar Abang Bad, Rozita pun menyanyi. Segala-galannya tampak elok sahaja sehinggalah sampai ke bahagian korus.

Yang peliknya, apabila Rozita mula menyanyikan bahagian tersebut, tiba-tiba saja angin bertiup kencang, pada hal cuaca sebelum itu tenang saja. Udara pun berubah jadi sejuk. Ketika itu, saya sendiri terasa meremang bulu roma.

Nampaknya bukan saya saja yang rasa kelainan itu, bahkan rakan-rakan lain turut merasakannya. Tapi kami tak sanggup hendak menegur perubahan cuaca itu, cuma kami saling berpandangan antara satu sama lain. Wajah pula masing-masing sudah kelihatan risau dan takut.

Pada bait-bait korus lagu itu, kedengaran jelas ada suara lain turut menyanyi bersama-sama Rozita. Bukan seorang, bukan dua orang. Tetapi bunyinya seakan-akan ramai penyanyi latar wanita yang mengiringi suara Rozita.

Rupa-rupanya, Rozita juga menyedari perubahan itu. Dia berhenti menyanyi. Begitu juga Abang Joe yang berhenti memetik gitar. Abang Joe sarankan kami berhenti di situ dan pulang semula ke penginapan.

Ingatkan dah habis tetapi tidak. Malam itu, Rozita histeria. Dia meracau-racau. Mujurlah salah seorang ustaz yang terlibat dalam seminar kami itu datang membantu dan memulihkan Rozita.

Keesokan siangnya, Abang Bad memanggil kami semua datang ke biliknya, kecuali Rozita yang masih belum sihat sepenuhnya. Abang Bad memperdengarkan kepada kami pita rakaman nyanyian Rozita di pantai malam tadi.

Dia suruh kami dengar dengan teliti rakaman tersebut. Kami diam dan dengar betul-betul. Suara Rozita jelas kedengaran mengalunkan lagu Ulek Mayang. Namun, apabila sampai di bahagian korus, kami semua saling berpandangan sesama sendiri. Suara siapa tu?

Pada bait-bait korus lagu itu, kedengaran jelas ada suara lain turut menyanyi bersama-sama Rozita. Bukan seorang, bukan dua orang. Tetapi bunyinya seakan-akan ramai penyanyi latar wanita yang mengiringi suara Rozita.

Persembahan Ulek Mayang masih kekal sehingga hari ini. 

Mustahil kami yang menyanyikannya kerana kami semua memang benar-benar diam ketika itu kerana tidak mahu mengganggu proses rakaman suara Rozita. Habis tu, dari mana pula datangnya suara back-up singer tersebut?

Baru juga kami sedar, ketika muncul suara aneh yang mengiringi suara Rozita itulah waktu yang sama cuaca di tepi pantai yang tenang tiba-tiba berubah malam itu dengan angin kencang beserta udara yang sejuk.

Seram sejuk kami bila mendengar pita rakaman itu. Ditambah pula dengan keadaan Rozita yang histeria malam tadi selepas menyanyikan lagu tersebut.

Akhirnya, kami sepakat untuk membatalkan persembahan Ulek Mayang. Sebaliknya, kami pilih buat persembahan lain untuk malam penutup seminar tersebut. Kami hanya pilih menyanyi lagu biasa beramai-ramai secara acapella dengan iringan gitar Abang Bad saja.

Mungkin apa yang jadi pada Rozita juga ada kena mengena dengan lagu tersebut. Sehingga kini, saya masih teringat dengan jelas suara penyanyi latar dalam rakaman tersebut? Apakah itu suara puteri tujuh dalam Ulek Mayang?

Lagu Ulek Mayang

Ulek mayang ku ulek
Ulek dengan jala jemala
Ulek mayang diulek
Ulek dengan tuannya puteri
Ulek mayang diulek
Ulek dengan jala jemala
Ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya dua

Puteri dua berbaju serong
Puteri dua bersanggol sendeng
Puteri dua bersubang gading
Puteri dua berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya empat

Puteri empat berbaju serong
Puteri empat bersanggol sendeng
Puteri empat bersubang gading
Puteri empat berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya enam

Puteri enam berbaju serong
Puteri enam bersanggol sendeng
Puteri enam bersubang gading
Puteri enam berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya tujuh

Puteri tujuh berbaju serong
Puteri tujuh bersanggol sendeng
Puteri tujuh bersubang gading
Puteri tujuh berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan tuannya puteri

Tuan puteri berbaju serong
Tuan puteri bersanggol sendeng
Tuan puteri bersubang gading
Tuan puteri berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan tuannya puteri

Ku tahu asal usul mu
Yang laut balik ke laut
Yang darat balik ke darat
Nasi berwarna hamba sembahkan
Umbok mayang ku umbok
Umbok dengan jala jemala
Pulih mayang ku pulih
Pulih balik sedia kala

***Pengalaman di atas diceritakan kepada penulis oleh Shamsul Hadri dari Johor Bahru.

Misteri, Ulek Mayang