suria

Buli siber bukti hak kebebasan bersuara semakin disalah guna!

Pelakon Haneesya Hanee antara salah seorang artis yang menjadi mangsa buli siber.
PEMBULI siber dilihat semakin menjadi-jadi 'menyerang' pelayar di laman sosial tanpa batasan.

Lihat sahaja komen segelintir warga maya atau netizen berhubung sesuatu isu lebih-lebih lagi yang melibatkan artis, selebriti, pemimpin negara termasuklah golongan ternama.

Dengan sewenang-wenangnya kata-kata kurang enak dilemparkan malah ada ketikanya kata-kata kesat, nista dan fitnah yang tidak sepatutnya diungkapkan, berani dihamburkan netizen demi menyuarakan pandangan peribadi tanpa memikirkan implikasinya kepada orang lain.

ARTIKEL BERKAITAN:  Akaun 'fake' anda hilang? Facebook padam 5.4 bilion profil palsu

Hak kebebasan bersuara telah disalah guna melalui medium elektronik semata-mata bertujuan untuk menyakiti perasaan malah mencalar maruah serta menjatuhkan reputasi individu lain.Dalam sedar atau tidak, perbuatan sebeginilah yang dikatakan sebagai buli siber.

Ancaman

Menurut data Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan portal MyHealth Malaysia, daripada lebih 5,000 responden yang menyertai kaji selidik mendedahkan bahawa, tiga daripada 10 golongan muda Malaysia menjadi mangsa buli siber sekaligus mempengaruhi pendidikan dan kehidupan sosial mereka.

Daripada jumlah itu, seramai 457 responden (sembilan peratus) mengaku menggunakan platform digital untuk mengganggu atau membuli manakala 63 peratus responden tidak menyedari wujudnya perkhidmatan bantuan talian buli siber.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, meskipun kes siber buli menunjukkan trend penurunan seperti yang dilaporkan kepada Pusat Bantuan Cyber999 (kendalian CyberSecurity Malaysia) ia tidak bermakna kes itu berkurangan secara keseluruhan di Malaysia.

Penggunaan media sosial adalah tanggungjawab masing-masing.

“Buli siber merupakan ancaman siber yang memerlukan perhatian semua pihak terutama dalam kalangan pengguna media sosial. Mereka perlu mempunyai kesedaran mengendalikan media sosial agar tidak menjadi mangsa mahupun pemangsa buli siber,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.Berdasarkan laporan berkaitan buli siber, sebanyak 292 kes direkodkan pada 2017 berbanding 266 kes pada 2018.

Bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini, sebanyak 117 kes dilaporkan berbanding 181 kes dalam tempoh sama pada 2018.

Kata-kata Kesat

Mengulas lanjut Amirudin berkata kes buli siber tertinggi adalah melibatkan isu penggunaan kata-kata kesat, memalukan, ugutan di laman sosial serta akaun palsu yang menyasarkan mangsa yang membuat laporan.

Meskipun mangsa buli siber sinonim dikaitkan dengan golongan kanak-kanak dan remaja namun berdasarkan statistik pusat berkenaan, sehingga Ogos 2019, mereka yang berusia antara 26 hingga 40 tahun adalah kumpulan utama menjadi mangsa buli dengan seramai 37 individu direkodkan sehingga Ogos 2019.

Ini diikuti 25 individu (19-25 tahun), lapan individu (41-55 tahun), dua individu (0-18 tahun) dan seorang individu (lebih 56 tahun) juga bagi tempoh sama.

”Dunia siber hari ini semakin mudah diakses oleh sesiapa sahaja. Kurangnya pendidikan dan kesedaran berhubung keselamatan siber termasuklah buli telah menyumbang kepada salah guna kemudahan yang ada khususnya media sosial,” katanya.

Antara langkah yang boleh diambil bagi mengatasi isu buli siber termasuklah kempen kesedaran berhubung buli siber, penguatkuasaan undang-undang dan melaporkan kes kepada pihak berkuasa.

Beliau menambah, pengguna perlu mempunyai kesedaran untuk memelihara dan melindungi maklumat peribadi yang sensitif dan mengelak daripada memaparkannya di dalam talian, mengehadkan privasi media sosial kepada kenalan rapat.

Bagi ibu bapa, mereka disaran menggunakan aplikasi Parental Control untuk memantau aktiviti anak-anak.

Di samping itu, CyberSecurity Malaysia turut menyediakan Program CyberSAFE untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan keselamatan siber kepada semua pengguna Internet di Malaysia.

Gejala Sosial Milenium

Pensyarah Kanan dan Penyelidik di Advanced Communication Research Unit (ACRU), Pusat Pengajian Teknologi Multimedia & Komunikasi, Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Khairie Ahmad berkata buli siber adalah permasalahan sedia ada yang dijelmakan dalam bentuk kontemporari dengan pembaharuan komunikasi perantara.

“Buli siber dapat ditakrifkan sebagai satu bentuk perilaku siber oleh individu mahupun kumpulan tertentu dengan tujuan memperoleh sesuatu, meningkatkan reputasi dan penguasaan sosial terhadap individu atau kumpulan lain.

Buli siber mempunyai dua kategori iaitu intai siber dan hasutan maya.

“Ia membawa maksud berlakunya pencerobohan terhadap diri seseorang atau kumpulan menerusi alam siber. Bila disebut sebagai pencerobohan, maka ia menunjukkan berlakunya implikasi negatif terhadap mangsa,” katanya.

Antara selebriti tempatan yang pernah menjadi mangsa buli siber termasuklah Neelofa, Zizan Razak, Mira Filzah, Fizo Omar, Nora Danish dan ramai lagi yang bukan sahaja memberi kesan kepada diri mereka bahkan ahli keluarga.

Golongan itu juga sebelum ini pernah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengadakan kempen bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai isu buli siber dan penyebaran berita palsu.

Mohd Khairie turut menjelaskan, buli siber terdiri daripada dua kategori utama iaitu intai siber (cyberstalking) dan hasutan maya (internet trolling).

“Intai siber merupakan satu bentuk perbuatan yang dilakukan secara tersembunyi menerusi alam siber bagi mengumpul maklumat tentang seseorang dengan niat untuk mengganggu, memantau atau mengancam individu berkenaan.

"Hasutan maya pula merujuk kepada tingkah laku di alam siber dengan niat untuk membangkitkan kemarahan (provokasi) atau menyinggung perasaan orang lain agar wujud reaksi tertentu.

“Kedua-dua kategori buli siber ini bukan sahaja melibatkan pembuli dan mangsa semata-mata, namun adakalanya turut mengundang penglibatan pihak ketiga yang akhirnya boleh memberi kesan buruk secara langsung atau tidak langsung terhadap mana-mana pengguna siber.

“Maksudnya, gejala buli siber boleh menjadi ‘rantaian demi rantaian’ memandangkan alam siber adalah komunikasi terbuka lebih-lebih lagi melibatkan media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter,” jelasnya.

Perlu Akta Khusus

Untuk mengenal pasti seseorang itu menjadi mangsa buli siber, ia bergantung kepada penerimaan individu terlibat terhadap kesan daripada segala bentuk komunikasi siber oleh seseorang yang membuatkan mereka berasa tertekan.

“Pembuli mungkin didorong oleh sikap individualistik (kepentingan diri) yang keterlaluan. Mereka juga mungkin mempunyai penyakit mental kerana sanggup melihat mangsa menderita tidak kira daripada segi emosi atau fizikal bagi mencapai kepuasan diri.

“Bagi mangsa pula, kelemahan serta kurang mahir untuk melindungi maklumat diri termasuk ilmu kecelikan media membuat mereka terjurus menjadi mangsa buli siber," katanya.

Justeru, adakah perlu diwujudkan undang-undang atau akta khas bagi melindungi mangsa buli siber?

Menjawab persoalan itu, Mohd Khairie berkata ketika ini terdapat beberapa undang-undang seperti Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Kanak-Kanak 2001 yang mungkin dapat menangani gejala buli siber.

Namun begitu, beliau berpendapat bahawa sudah tiba masanya pihak berkuasa memperkenalkan undang-undang yang lebih khusus yang bukan sahaja untuk menghukum pembuli, tetapi mampu menghindari dan melindungi seseorang daripada menjadi mangsa buli siber.

“Hasrat Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sebagaimana disarankan Menteri Gobind Singh Deo, wajar disegerakan pindaan atau diperkenalkan undang-undang baharu berkaitan jenayah siber dan buli siber.

Pelakon Rita Rudani antara mangsa terbaharu buli siber.

"Jika satu akta khusus seperti yang diperkenalkan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah dapat diwujudkan di Malaysia, maka ia akan menjadi petunjuk bahawa kerajaan tegas dalam menangani permasalahan ini.

“Ini penting kerana kerajaan pernah menyatakan bahawa ekonomi digital berpotensi menyumbang sekitar 20 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020. Dengan peningkatan aktiviti ekonomi digital ia secara langsung akan membawa lebih ramai berinteraksi di alam siber,” katanya sambil menambah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 juga perlu diperkasa.

Tingkat Kesedaran

Beliau berkata pendidikan literasi media secara formal sebagaimana diterapkan dalam kurikulum di AS dan negara-negara Kesatuan Eropah (EU), mampu meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung salah guna Internet selain mendidik cara mengendalikan komunikasi siber dengan sewajarnya.

“Pendidikan berhubung tatasusila komunikasi siber dapat membantu mencegah fenomena buli siber. Selain inisiatif yang digerakkan oleh kerajaan, ibu bapa juga perlu mempunyai kemahiran mendidik dan memantau anak-anak agar menjadi pengguna siber yang beretika dan bermanfaat kepada kesejahteraan sosial.

“Masyarakat siber perlu berani membetulkan sebarang unsur buli serta melaporkan kepada pihak berwajib jika mengesan gejala ini. Itulah yang sewajarnya dilakukan bagi mengekang tindakan buli siber oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Kesedaran dalam kalangan selebriti yang menyaksikan semakin ramai tampil menuntut keadilan melalui undang-undang juga mampu menyumbang ke arah usaha holistik untuk membanteras gejala buli siber di semua peringkat masyarakat,” katanya. - Bernama

Siber, Buli, Sosial Media

Artikel Lain