suria

"Cubaan yang tak disangka-sangka menjadi" - Pengikut TikTok cecah 100 juta, ekspresi wajah Khaby Lame melucukan tapi ada kisah sedih disimpan pemuda ini

Khaby Lame mula berjinak-jinak dengan TikTok sejak Mac tahun lalu.

PEMILIK nama Khaby Lame cukup terkenal dalam kalangan pengguna media sosial hanya disebabkan reaksi wajah dan sikap humornya ketika membuat sesuatu video.

Maka tidak hairan, baru-baru ini, Khaby mencipta sejarah sebagai individu kedua dengan pengikut terbanyak di TikTok iaitu 100 juta dibelakang Charli D'Amelio yang juga seorang penari dari Amerika Syarikat dengan 120.3 juta pengikut.

ARTIKEL BERKAITAN: Kenali saintis di sebalik penemuan AstraZeneca, Sarah Gilbert pernah pimpin penyelidikan vaksin Ebola, MERS

Jumlah pengikut itu berjaya dibuat hanya dalam tempoh 17 bulan!

Tidak hanya mendapat perhatian di TikTok, pemuda berusia 21 tahun ini turut mempunyai 30 juta pengikut di Instagram.

Namanya menjadi terkenal di seluruh dunia termasuk Malaysia selepas tampil dengan pelbagai reaksi kepada pelbagai video yang menampilkan perkara sukar yang sebenarnya boleh dimudahkan.

Khaby 3

Khaby tidak menyangka video dihasilkan mendapat perhatian dunia.

Tidak hanya memberi tip memudahkan sesuatu perkara dengan gaya bersahaja namun reaksi wajahnya yang 'selenga' membuatkan penonton tertarik dengan sikap humornya.

Main TikTok selepas hilang kerja

Khaby yang berasal dari Senegal mula membuka akaun TikTok pada Mac tahun lalu hanya sekadar untuk menghilangkan rasa bosan selepas diberhentikan kerja akibat pandemik.

Namun dia yang menetap di Chivasso, Itali mula berjinak-jinak menghasilkan pelbagai video hanya menggunakan telefon bimbitnya dengan suntingan ringkas sebelum dimuat naik ke TikTok.

Khaby sendiri memberitahu dia langsung tidak menyangka video yang dihasilkan tular di seluruh dunia dan sejak itu dia mula mendapat jumlah pengikut yang ramai dan mula menghasilkan lebih banyak video.

Khaby mengakui perkara yang membuatkan penonton terhibur dengan video dihasilkan adalah kerana ekspresi wajahnya yang seolah-olah tiada perasaan.

"Wajah dan ekspresi saya yang membuatkan orang ketawa.

KHABY LAME

PERSONALITI MEDIA SOSIAL

Malah katanya, ekspresi itu sudah cukup membuatkan seseorang itu ketawa tanpa perlu memahami bahasa digunakan.

"Wajah dan ekspresi saya yang membuatkan orang ketawa," katanya ketika ditemubual oleh The New York Times.

Apa lebih membuatkan dirinya menjadi perhatian, penghasilan videonya juga cukup sederhana dan tidak sukar difahami malah dia menjadi bukti produksi yang besar bukanlah satu-satunya cara untuk mendapat populariti dan pengikut.

"Apa yang saya miliki hari ini semuanya adalah secara semula jadi. Ia satu percubaan yang tidak disangka-sangka menjadi," ujarnya.

Maka tidak hairan, pelbagai akaun lain kerap mengulang siar videonya untuk mendapatkan 'engagement' daripada pengguna laman sosial dan menggunakan popularitinya.

Khaby

Khaby juga mempunyai 30 juta pengikut di Instagram.

Pemain Juventus pernah muncul dalam video Khaby

Atas sebab itu juga, wajah Khaby dalam bentuk 'meme' tersebar luas di pelbagai media sosial seperti Twitter, Facebook, WhatsApp dan sebagainya - sekaligus membuatkan popularitinya semakin meluas.

Khaby juga pernah berkolaborasi dengan pemain kelab bola sepak terkenal, Juventus seperti Arthur Melo, Paulo Dybala dan Alessandro Del Piero yang muncul dalam videonya.

Kewujudannya mendapat perhatian pemain kelab itu selepas Khaby yang juga peminat setia Juventus sering kali mengenakan jersi kelab itu dalam video dihasilkan.

Selain itu, Khaby juga cukup meminati pelakon Eddie Murphy dan Will Smith dan menganggap dua pelakon legenda itu sebagai sumber inspirasi terbesarnya.

Malah YouTubers seperti King Bach pun pernah menghubunginya untuk menghasilkan video selain mula menjana pendapatan menerusi Creator Fund TikTok dan berkolaborasi dengan pelbagai jenama terkenal di Itali.

Khaby 2

Dilahirkan di Senegal, Khaby membersar di Itali.

Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg juga pernah meninggalkan komen tanda suka pada salah satu videonya di Instagram.

Malah The Publish Press menerusi penulisnya memberitahu rahsia kejayaan Khaby sebenarnya disebabkan dirinya sendiri selain konten yang dihasilkan bersifat universal dan bukan dibuat-buat.

"Dia menunjukkan keaslian dan siapa dirinya tanpa sebarang bantuan teknologi canggih dan ia sangat dihargai oleh penonton.

"Khaby tidak terlalu berusaha untuk memasarkan diri atau video dihasilkan tetapi kandungan yang disampaikan menceritakan segala-galanya," katanya.

Masalah kewarganegaraan

Dikenali sebagai TikToker berasal dari Itali, secara teknikalnya Khaby tidak diakui sebagai rakyat negara itu disebabkan masalah kewarganegaraan meskipun dibesarkan di negara itu sejak berusia setahun.

1310806

Pelbagai aksi Khaby yang mencuit hati.

Disebabkan masih memegang pasport Senegal, ia menyukarkan pemuda itu untuk ke luar negara untuk memenuhi pelbagai undangan yang diterima sejak popular.

Sehingga kini, Khaby masih berhadapan dengan masalah birokrasi di Itali untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan memandangkan dia tidak lahir di negara itu.

Bagi mendapatkan taraf kewarganegaraan Itali, seseorang rakyat asing itu mestilah mencapai usia 18 tahun dan tinggal di negara itu sejak lahir.

"Saya tidak pernah melihat perkara itu sebagai satu masalah kerana jauh di sudut hati saya, saya adalah rakyat negara ini. Saya tidak perlukan sehelai kertas untuk membuktikannya," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain