suria

Pakai mask pun kacak! Perenang Olimpik Malaysia, Welson Sim jadi perhatian netizen China, ketahui 5 fakta menarik mengenai dirinya

Wajah kacak perenang negara Wilson Sim menjadi perhatian peminat sukan di China. Foto Instagram @wilsonsim

SAAT kontinjen Malaysia berarak keluar ketika acara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo pada 23 Julai lalu ramai memberi perhatian kepada atlet badminton Lee Zii Jia dan Goh Liu Ying yang mengetuai perarakan itu.

Namun kemunculan dua saat Welson Sim Wee Sheng ketika acara itu berlangsung telah menarik perhatian penonton khususnya dari China yang kagum dengan wajah kacak perenang itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengalaman takluk gunung tertinggi di Eropah bantu gadis ini raih 9A dalam SPM 2020, bapa jadi inspirasi

Meskipun ketika itu Sim memakai pelitup muka sebagai mematuhi SOP, namun ramai mula jatuh hati dengannya sehingga atlet berusia 24 tahun itu menjadi buruan di media sosial di negara itu.

221692352_1439095409780026_5667402353984435559_n

Wilson kini berada di temasya Sukan Olimpik Jepun 2021.

Sejak itu, nama dan gambar anak kelahiran Sarawak itu tular apabila netizen di China mula 'menyelongkar' bagi mendapatkan maklumat lanjut untuk mengetahui siapakah individu kacak di sebalik pelitup muka tersebut.

Ada pula berkongsi paparan skrin wajah Sim yang diambil ketika berarak di Sina Weibo iaitu laman sosial mirip Twitter di China dan tidak kurang pula ada berkongsi maklumat mengenainya sehingga perbualan tentang Sim menjadi trending di China.

"Ada shuai ge (lelaki kacak) dalam pasukan Malaysia," tulis seorang pengguna Sina Weibo, Zixi.

Wanzhai pula menulis dia segera mencari Instagram Sim kerana ingin menatap lebih banyak gambar atlet itu dan ramai mula memberinya nama timangan sebagai 'Malaysian Flying Fish Prince'.

Wilson 1

Ramai terpikat dengan wajah kacaknya.

Bagaimanapun impian Sim yang bertanding menerusi dua kategori iaitu 400 meter dan 200 meter gaya bebas lelaki untuk mencatat masa terbaik dan memperbaiki rekod kebangsaan pada penampilan kedua di temasya Sukan Olimpik gagal apabila gagal melayakkan diri.

Dalam saringan 400 meter gaya bebas lelaki di Pusat Akuatik Tokyo itu, Sim sekadar mengakhiri saingan di kedudukan ke-33 daripada 36 perenang yang bertanding dengan catatan 3 minit 58.25 saat.

Lebih mengecewakan, atlet tersebut tidak berupaya mengatasi rekod peribadi iaitu 3:49.29s yang dilakukan di Kejohanan terbuka NSW Sydney, Australia 2019 dan juga gagal menyamai rekod terbaiknya sewaktu di Olimpik Rio (2016) 3:51.57s.

Kegagalan itu menurut jurulatihnya, Chris Martin disebabkan Sim bergelut akibat patah tangan berikutan kemalangan motosikal pada Mac lalu.

Wilson 6

Wilson banyak mencipta rekod kebangsaan sepanjang kariernya.

Adakalanya kata Chris, Sim akan berasa sakit pada bahagian tangannya namun tetapi memberi kredit kepada sikap tidak berputus asa ditunjukkan.

Pun begitu, sokongan tidak berbelah bahagi masih diberikan kepada Sim meskipun dia gagal mara ke pusingan seterusnya. Berikut adalah beberapa fakta menarik mengenainya.

1. Impian Olimpik tercapai

Pada usia 19 tahun, dia menjadi perenang lelaki pertama dari Malaysia yang layak ke sukan Olimpik di bawah kategori A dalam dua acara - gaya bebas 200 meter dan 400 meter di Olimpik Rio pada 2016.

Aksi di Olimpik Tokyo adalah kemuncuan keduanya menerusi kategori sama dan memang menjadi impian anak muda ini untuk berentap di acara berprestij itu.

Wilson 4

2. Penyakit asma tak halang Sim kecapi kejayaan

Ramai tidak mengetahui bahawa Sim menderita penyakit asma sejak kecil dan perkara itu telah menghadkan aktivitinya.

Bagaimanapun pada usia 10 tahun, ibunya memperkenalkannya dengan sukan renang bagi membantunya melawan penyakitnya itu.

Bukan sahaja berjaya mengawal penyakit asma Sim tetapi pada usia 12 tahun, Sim berjaya menjadi sebahagian daripada sukan renang mewakili Sarawak.

Pada usia 15 tahun, Sim bertukar ke Sekolah Sukan Bukit Jalil bagi memantapkan lagi kemahiran berenang bersama atlet lain.

Wilson 3

3. Cipta dan pecah pelbagai rekod!

Kesungguhannya berlatih telah menjadikan dia perenang terpantas maka tidak hairan Sim berjaya memecahkan rekod kebangsaan pada 2013 dan 2014 menerusi gaya bebas 4x200 meter.

Sim juga merupakan rakyat Malaysia pertama yang memecahkan rekod gaya bebas 100 meter di Kejohanan Australia pada 2019.

Jadi tidak hairan Sim merupakan pemegang rekod kebangsaan untuk 100 meter gaya bebas, 200 meter gaya bebas, 400 meter gaya bebas dan 800 meter gaya bebas dengan lebih daripada 10 pingat Sukan Asia Tenggara di bawah namanya.

Itu termasuk tiga pingat emas untuk acara 200 meter gaya bebas dan 400 meter gaya bebas dan pada 2019, Sim menumpaskan pemenang pingat emas Olimpik dan juara bertahan, Mack Horton dalam acara 400 meter gaya bebas lelaki di Kejuaraan Renang Terbuka Victoria dan membawa pulang pingat emas.

Wilson 5

4. Ibu inspirasi kejayaan!

Bukan rahsia Sim cukup mengidolakan perenang legenda Amerika, Michael Phelps namun dia sangat menyanjungi ibunya sendiri sebagai sumber inspirasi terbesar dalam kariernya.

Kata Sim jika bukan kerana ibunya, dia mungkin tidak berada di tahapnya sekarang dan wanita itulah yang sanggup berkorban bangun seawal 5.30 pagi menghantarnya ke tempat latihan dan menunggu dengan setia sehingga selesai berlatih.

Jadi tidak hairan, ketika pertama kali berentap di pentas Olimpik di Rio pada 2016, ibunya adalah tetamu istimewa dan pemangkin semangat sepanjang bertanding.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Wilson 2

5. Suka badminton dan motosikal berkuasa tinggi

Meskipun sukan renang adalah minat utamanya, Sim juga gemarkan aktiviti lasak yang lain termasuk menunggang motosikal berkuasa tinggi dan bermain badminton.

Malah menerusi akaun Instagramnya, Sim banyak berkongsi gambar mengenai aktiviti hariannya itu dengan pengikutnya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain