suria

Hebatnya anak autistik... Tak gentar dilambung ombak monsun, kental berdepan situasi cemas di laut lepas

Hamlatul Hawary Azizan bersama dua anak autistik ketika acara Renangan Autisme di Laut Dalam 2021 (OWAS) yang diadakan di Pulau Redang anjuran bersama Hawary Sports Centre (HSC) dan The Taaras Beach and Spa Resort.

"ANAK autistik sebenarnya berani dan biasanya mereka akan melakukan sesuatu tanpa sedar ianya berbahaya," demkian kata jurulatih renang bertauliah, Hamlatul Hawary Azizan.

Berpengalaman 14 tahun dalam kerjaya berkenaan termasuk enam tahun mendidik anak-anak autistik berenang, pandangan itu bukan sengaja dilontarkan, sebaliknya ia berdasarkan pengalaman yang dilaluinya di Pulau Redang baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dulu nak makan pun susah, badan kurus” - Remaja miskin, tercicir pelajaran sebak dapat peluang kedua... syukur mampu bantu mak ayah

Tidak pernah lelah menyantuni insan istimewa, pengasas Hawary Sports Centre (HSC) ini menyaksikan bagaimana hebatnya anak-anak autistik berdepan saat cemas dilambung ombak besar di Laut Cina Selatan.

"Pada jarak lima kilometer dari kawasan pantai, jurulatih yang mengiringi perenang yang perlu menamatkan jarak renangan tiga kilometer bergelut dengan ombak monsun setinggi 1.5 meter hingga dua meter.

"Bayangkan situasi getir itu, jika semangat dan mental perenang tidak kuat keadaan akan menjadi kucar kacir.

"Bagaimanapun syukur alhamdulillah keadaan terkawal dan perenang serta jurulatih mula menyesuaikan diri dengan ombak," katanya yang ternyata lega semua peserta dalam keadaan baik sebelum dan selepas acara itu.

Menceritakan lebih lanjut momen yang sukar dilupakan itu, kata lelaki berusia 33 tahun ini, bagaimanapun keadaan berbeza di sekitar pantai untuk kategori satu kilometer dan 500 meter apabila bot tidak boleh menghampiri kawasan pantai disebabkan faktor ombak yang kuat.

Keberanian anak-anak istimewa ini amat mengagumkan.

Jurulatih dan perenang perlu berenang dahulu ke bot sebelum dibawa ke check points yang ditetapkan kerana angin kuat dan ombak tinggi menjadi cabaran besar kepada peserta ketika menghampiri bot.

Demikian senario yang dilaluinya dan Hamlatul Hawary sendiri mengakui acara itu benar-benar memberi pengalaman berharga buat dirinya dan pasukan jurulatih HSC, begitu juga buat perenang serta keluarga yang turut menyaksikan bagaimana anak-anak mereka menempuh halangan di tengah laut sebelum berjaya menamatkan misi masing-masing.

Acara Renangan Autisme di Laut Dalam 2021 (OWAS) yang diadakan di Pulau Redang anjuran bersama Hawary Sports Centre (HSC) dan The Taaras Beach and Spa Resort.

Dikendalikan dengan mematuhi SOP serta langkah keselamatan tambahan termasuk menyediakan pasukan penyelamat pantai dan bot yang dilengkapi aspek keselamatan.

Memasuki tahun ke tiga acara berkenaan, ia melibatkan renangan pada jarak tiga dan satu kilometer serta 500 meter mengikut tahap keupayaan perenang autistik terlibat.

Dianggap acara luar biasa kerana OWAS diadakan pada musim monsun yang belum reda dengan disertai enam anak autistik iaitu Sinan Rauf Mohammad Fairuz (15 tahun); Adam Faris Shazwan (13) bagi kategori tiga kilometer; Muhammad Izzul Rizqy Mohd Saupi (12) untuk jarak satu kilometer dan tiga perenang bagi jarak 500meter iaitu Muhammad Irfan Husaini Muhammad Hizrullah (12), Syed Zainal Ariffin Syed Abdul Rahman (14) dan Umar Sham Mozni Sham yang berusia 11 tahun.

Malahan kata Hamlatul Hawary, pencapaian perenang autistik adalah sesuatu yang sangat membanggakan kerana mereka berani meredah ombak dan berenang tanpa rasa takut atau pun penat.

Bukan semua mampu berenang dalam keadaan ombak yang kuat.

Umpama terapi, latihan renang anak autistik ternyata mampu memberi manfaat apabila mereka lebih fokus serta kemahiran motor yang lebih baik selain berkeyakinan.

"Yang pasti ia bukan sahaja ujian stamina untuk pelatih, malahan mencabar minda dan kekuatan fizikal mereka," katanya.

Tidak dilupakan ibu bapa yang turut hadir memberi semangat kepada anak-anak istimewa mereka supaya dapat menamatkan misi dan melawan ketakutan serta kuatkan semangat untuk menggapai kejayaan.

Hanya dua bulan berlatih di kolam renang pada jarak 1.5km walaupun jarak sebenar renangan di laut mencecah tiga km. Namun, anak-anak autistik ini tidak seharusnya dipandang remeh kerana sesungguhnya mereka berjaya membuktikan keupayaan masing-masing.

Jurulatih HSC yang membantu bagi menjayakan misi acara renang di Pulau Redang baru-baru ini.

Segala-galanya berkisar kepada 20 peratus kemahiran, manakala baki 80 peratus lagi bergantung kepada semangat diri masing-masing.

Ternyata autisme bukan penghalang untuk merekodkan kecemerlangan selaku perenang yang mampu meredah ombak di tengah laut terutama di musim monsun tetapi yang pasti mereka berjaya menempuhinya. Tahniah buat semua yang terlibat dalam misi OWAS 2021.

Menjelang cuti persekolah yang bakal bermula tidak lama lagi, bagi keluarga yang berhasrat berkelah atau bersantai di pantai pastikan mematuhi SOP dan mementingkan aspek keselamatan sepanjang masa.

Berikut adalah tip keselamatan dan kesihatan bagi yang menjalankan aktiviti di laut:

1. Elakkan mengambil sarapan berat jika hendak melakukan aktiviti di laut seperti berenang, snorkeling atau scuba diving.

2. Dapatkan nasihat dari lifeguard atau pengurus sukan di resort anda menginap tentang keadaan ombak di laut sebelum melakukan aktiviti di air.

3. Pastikan anda mempunyai basic renang sekurang-kurangnya ketika berdepan situasi cemas seperti dihanyutkan arus.

4. Memakai pakaian berwarna cerah dan terang bagi memudahkan pihak lifeguards melihat anda jika berlaku sebarang kecemasan di pantai atau laut.

5. Elakkan berenang sendirian dan jauh dari pemerhatian lifeguard.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain