suria

Baru 13 tahun, Danish Harraz ada badan kebajikan sendiri... dah muncul di BBC!

Danish Harraz sedang membungkus barang-barang keperluan dalam beg untuk diedarkan kepada golongan memerlukan. Foto Instagram @danish.harraz

MENUBUHKAN badan kebajikannya sendiri ketika baharu berusia sembilan tahun, Danish Harraz sudah pun menghulurkan bantuan kepada lebih 100 keluarga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malah usahanya itu turut mendapat perhatian media antarabangsa apabila kisah Danish yang kini berusia 13 tahun dipaparkan di BBC My World iaitu sebuah siri dalam talian yang diterbitkan oleh Angelina Jolie sebagai penerbit eksekutif dan BBC World Service.

Dalam episod #CoronaKindness yang mengangkat tentang anak muda di seluruh dunia memainkan peranan mereka untuk membantu golongan memerlukan, Danish turut berkongsi mengenai kisahnya menyediakan makanan sepanjang PKP.

ARTIKEL BERKAITAN: Demi kelangsungan hidup, coach sado tak malu makan gaji angkut barang di pasar basah

Danish memberitahu dia tampil dengan inisiatif iaitu Beg Bantuan Covid-19 yang mengandungi barangan runcit bernilai RM75 seperti minyak masak, tepung, gula, biskut dan sebagainya untuk diedarkan kepada 50 keluarga di Selangor dan negeri lain.

Dia kemudiannya melancarkan fasa kedua dengan memberikan barangan runcit bernilai RM100 setiap satu kepada 60 keluarga.



Danish minat memasak dan sering berkongsi resepi di Instagram.

Selain itu, Danish bersama ibu bapanya juga membantu menyiapkan makanan segar untuk diedarkan kepada pekerja asing, keluarga kehilangan tempat tinggal dan memerlukan di kawasan sekitar kejiranannya pada bulan Ramadan lalu.

Bagi memastikan dia menjaga jarak sosial semasa pandemik itu, Danish turut memberitahu dia turut memindahkan dana kepada mereka yang meminta pertolongan kepadanya sebagai cara selamat membantu orang lain dalam kesusahan.

Semua dana untuk tujuan itu kata Danish dikumpul daripada badan kebajikan Danish Love and Support Crew yang ditubuhkan empat tahun lalu.

Minat mendalam terhadap masakan

Danish mendedahkan minatnya terhadap kerja-kerja kebajikan bermula daripada minatnya terhadap masakan malah dia banyak belajar resepi terbaharu menerusi YouTube selain belajar daripada ibunya.

"Ibu benarkan saya membantunya di dapur dan membelikan saya peralatan khas seperti pisau plastik untuk memotong sayur.

"Lama kelamaan, ibu mula membenarkan saya memasak sendiri sambil dia membantu menyediakan bahan dan memerhatikan saya.



Danish berharap dapat memberi inspirasi kepada orang lain dalam membantu golongan memerlukan.

"Saya masih ingat, resepi pertama yang saya sediakan sendiri ketika berusia enam tahun iaitu spageti bolognese dan pencuci mulut puding caramel," katanya.

Sejak itu kata Danish minatnya terhadap masakan semakin mendalam dan mula membuat resepi sendiri dan bereksperimen menggunakan pelbagai bahan.

Danish memberitahu dia juga turut mendapat kebenaran ibu bapanya untuk berkongsi resepi dan video masakannya di media sosial.

Video resepi pertama dimuat naik ibunya di Instagram miliknya @danish.harraz pada 2013 adalah roti bakar jem cokelat dan badam bersama strawberi.

"Saya tidak pernah berkongsi resepi yang sukar kerana tidak mahu pengikut menghabiskan masa, wang dan usaha sekiranya resepi dibuat tidak menjadi. Saya cuma mahu mereka belajar sesuatu yang baru dan berseronok dengan usaha ketika menghasilkan sesuatu," ujarnya.



Antara kemahiran Danish adalah membakar kek.

Danish mendapat ulasan positif daripada pengikutnya termasuk ia turut menjadi inspirasi kepada usahawan yang ingin memulakan perniagaan makanan.

"Mereka akan hubungi saya meminta kebenaran menggunakan resepi seperti biskut atau kek untuk dijual. Saya sentiasa terbuka untuk memberi mereka tip tambahan.

"Saya rasa seronok apabila mengetahui resepi saya dapat membantu orang lain menghasilkan pendapatan dan menaik tarafkan kehidupan seseorang, dan itu alasan mengapa saya masih melakukan kerja amal," jelasnya yang mempunyai lebih 200,000 pengikut di Instagram.

Bercakap mengenai masa hadapan, Danish berharap dapat menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk membantu pelajar kurang bernasib baik di kawasan luar bandar.

"Saya mahu membantu lebih banyak orang dengan sedikit bakat dan menggunakan media sosial. Saya juga harap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang di luar sana untuk berkongsi perkara positif dalam membantu orang dalam kesusahan," katanya. - The Star



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain