suria

Mata tak nampak... hidap 2 penyakit lain, Syarnissa buat ramai tabik! Dapat ijazah di Australia hanya dalam masa 20 bulan

Syarnissa bersama ibu tersayang yang banyak mendorong kepada kejayaannya pada hari ini.

SIAPA sahaja yang mendengar mengenai masalah kesihatan dihadapi oleh Syarnissa Ahmad pasti tidak dapat membayangkan kesukaran yang terpaksa dihadapinya.

Namun wanita berusia 31 tahun ini tidak pernah menjadikan kekurangan dirinya sebagai batu penghalang untuk mencapai semua impiannya.

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini dilahirkan dengan masalah glaukoma kongenital dua hala yang menyebabkan dia mengalami gangguan penglihatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu jual mufin, tapi hati pada handbag... akhirnya jadi personal shopper berjaya - “Saya terpaksa bawa 20kg pisang naik bas”

Mata kirinya sudah buta sepenuhnya manakala mata kanan hanya berfungsi sebanyak 20 peratus.

Lebih malang lagi, Syarnissa turut mempunyai masalah 'spina bifida' termasuk tumor pada tulang belakang. Tidak cukup dengan itu, dia juga mengalami masalah paru-paru lemah.

Syarnissa mengharungi pelbagai cabaran dalam hidup. 

"Saya mempunyai impian sangat besar. Saya mahu menjadi penyanyi. Saya mahu bergelar profesor. Impian saya semakin besar setiap hari.

"Alhamdulillah semua orang kesayangan saya sangat menyokong dan tidak pernah berhenti mempercayai semua impian saya," katanya.

Tamatkan ijazah dalam tempoh 20 bulan di luar negara!

Syarnissa tidak cakap kosong - dia adalah graduan perakaunan dari Universiti Teknologi Queensland, Australia malah berjaya menamatkan kursus ijazahnya hanya dalam tempoh 20 bulan.

"Saya ditawarkan dua biasiswa penuh, satu ke universiti tempatan dan satu lagi di luar negara. Saya pilih untuk belajar di luar negara dan Alhamdulillah saya berjaya melengkapkan ijazah yang sepatutnya memakan masa tiga tahun hanya dalam tempoh 20 bulan," katanya.

Syarnissa kini adalah seorang penasihat prestasi kecemerlangan di Sarawak Shell Berhad, Miri, Sarawak. Lebih membanggakan, di sebalik kekurangannya, dia memilih untuk tinggal di apartmentnya sendiri.

Rakan sekerja banyak mendorong Syarnissa.

Wanita ini memberitahu dia gembira dengan profesionnya kerana dapat memberi semangat dan dorongan kepada orang lain untuk lebih maju ke hadapan.

"Saya sebahagian daripada 'tangki' pemikir dan saya dapat berkongsi idea untuk membantu syarikat mencapai matlamat mereka.

"Tugas ini sangat menarik dan saya bernasib baik kerana mempunyai majikan dan rakan sekerja yang banyak memberi semangat," katanya.

Syarnissa berharap kisahnya dapat menggalakkan orang lain terutamanya mereka yang tergolong sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) agar tidak mudah berputus asa.

"Saya tidak mengatakan hidup saya sentiasa bahagia. Saya juga bukanlah seorang yang positif sentiasa. Setiap hari adalah pertempuran, adakalanya saya berada dalam kesakitan kerana terpaksa menutup mata dan tidak boleh berbuat apa-apa.

Saya harap kisah saya dapat menggalakkan orang lain yang mungkin turut menghadapi situasi sama seperti saya. Dengan harapan mereka akan jadi seorang yang lebih berani dalam hidup.

SYARNISSA AHMAD

"Apabila doktor memberitahu saya akan kehilangan penglihatan, saya kecewa dan sedih. Saya rasa ragu dengan diri sendiri.

"Tetapi saya sentiasa cuba perbaiki diri dan maju ke hadapan, itu yang membuatkan saya berbeza dari orang lain dan bukannya kekurangan yang ada pada diri saya," ujarnya.

Suka berkongsi kisah hidup, harap dapat beri inspirasi

Tambahnya, jika dia terus diselubungi dengan kesedihan, dia kini mungkin masih berada di Pasir Mas tanpa berbuat apa-apa bagi mengubah kisah hidupnya.

Dalam pada itu, Syarnissa berkata, sehingga kini, dia sering diminta untuk berkongsi mengenai kisahnya dan dia gembira dapat berbuat demikian.

"Saya memang banyak bercakap... Sejak kecil saya banyak habiskan masa di hospital dan saya akan berbual dengan semua orang!

Syarnissa kini bertugas sebagai penasihat prestasi kecemerlangan di Sarawak Shell Berhad.

"Saya harap kisah saya dapat menggalakkan orang lain yang mungkin turut menghadapi situasi sama seperti saya. Dengan harapan mereka akan jadi seorang yang lebih berani dalam hidup.

"Individu kurang upaya memang kena banyak bersabar dan berusaha kerana kejayaan tidak datang bergolek dengan begitu sahaja.

"Kita perlu berani dan yakin dengan diri sendiri serta tunjukkan kebolehan kita pada orang. Jika kita tak tunjuk, bagaimana mereka nak tahu?" katanya. - THE STAR 

Syarnissa Ahmad, OKU, Inspirasi

Artikel Lain

Peminat tidak teruja lihat aksi Romeo Beckham