KERACUNAN makanan sering dilaporkan di kantin dan asrama sekolah sehingga menyebabkan ramai murid mengalami masalah kesihatan yang serius. Terbaharu, kes keracunan melibatkan 101 murid Sekolah Kebangsaan Chepor di Ipoh, Perak. Berdasarkan siasatan Unit Kawalan Penyakit Berjangkit Pejabat Kesihatan Daerah Kinta, keracunan berpunca daripada ayam goreng yang dijual tidak dimasak sepenuhnya dengan sebahagian isinya masih mentah. Sehubungan itu, bagi mengelakkan masalah sama berulang, pengusaha dan pengendali makanan perlu mengambil langkah proaktif dengan memastikan kebersihan persekitaran di tempat memasak sentiasa mengikut piawaian yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM). Ini lima panduan pengendalian daging ayam yang selamat. 1. Pemilihan daging ayam Pengusaha dan pengendali makanan perlu memastikan ayam yang dibeli masih segar dengan keadaan isinya masih pejal dan anjal manakala warna kulit kekal cerah. Periksa keadaan ayam tersebut supaya tidak mempunyai lendir, berbau busuk atau kelihatan lebam kehijauan. Pastikan warna kulit ayam masih cerah dan isi kekal pejal. 2. Proses membersihkan ayam Isi ayam kebiasaannya dipotong mengikut jenis masakan. Kemudian cuci setiap bahagian ayam dan bersihkan dengan menggunakan air bersih. Paling penting, bekas dan peralatan yang digunakan juga berada dalam keadaan bersih. 3. Penyahbekuan daging ayam Kebanyakan pengusaha dan pengendali makanan sering mengabaikan cara menyahbekukan ayam dengan membiarkan sahaja di atas meja sehingga ais mencair. Cara yang sebenar adalah dengan merendam daging ayam di dalam bekas bersih di bawah air paip yang mengalir. Anda juga boleh menggunakan ketuhar gelombang mikro dengan memilih mod defrost atau meletakkannya di ruang pendingin (chiller) dalam peti sejuk. Kaedah ini lebih pantas dan selamat. Hidangan berasaskan ayam menjadi pilihan ramai. -Gambar hiasan 4. Proses memasak Memasak dalam kuantiti yang banyak di samping penyediaan pelbagai jenis juadah membuatkan pengusaha serta pengendali makanan terlepas pandang tentang 'kesempurnaan' sajian. Sesibuk mana pun anda, pastikan daging ayam yang telah dimasak tidak mempunyai kesan darah sama ada di bahagian tulang mahupun isi. Jika masih kelihatan kesan darah, anda perlu memasaknya semula dan pastikan air rebusan berwarna jernih. 5. Cara penyimpanan Untuk pengetahuan, ayam yang siap dicuci perlu terus dimasak kerana dagingnya mudah rosak dan busuk. Bagi yang masih segar, anda perlu memastikan daging ayam tersebut disimpan di ruang sejuk beku. Seandainya terjadi bekalan elektrik terputus di premis atau kediaman, anda dinasihatkan untuk segera memasak daging ayam berkenaan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube