suria

Wanita ini kongsi derita dipulau kerana masalah kulit, ketahui dermatitis atopik bukan penyakit berjangkit dan boleh dirawat!

Iris terpaksa berhadapan dengan pelbagai rintangan disebabkan masalah kulit dihadapinya.

SEJAK kecil, Iris sering menjadi mangsa buli rakan-rakan di sekolah dengan mengatakan dirinya kelihatan seperi seekor ular disebabkan kulit kakinya yang bersisik.

Bertahun-tahun ibu bapanya berusaha untuk merawat masalah kulitnya itu termasuklah penggunaan steroid, selain mencuba kaedah tradisional namun ikhtiar itu sia-sia.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiba-tiba menggigil ketika tidur? Selain sejuk, petanda menopause salah satu daripada 5 sebabnya

"Saya tidak boleh tidur malam, seluruh badan berasa gatal, kulit mengelupas hingga mengeluarkan nanah. Ia memang menyakitkan sehingga ia mengganggu kesihatan mental saya.

"Saya juga menjadi seorang yang kurang keyakinan diri selain terpaksa berhadapan dengan ejekan dan pandangan pelik daripada orang sekeliling," katanya.

Kisah Iris

Kisahnya turut diolah dalam bentuk komik dalam memberi kesedaran kepada orang ramai tentang dermatitis atopik.

Hampir sepanjang hidupnya dia sentiasa berasa tertekan dengan keadaan dirinya itu selain terpaksa berhadapan dengan pandangan orang sekeliling tentang keadaannya.

Anak kelahiran Sandakan, Sabah ini memberitahu dia hanya dapat membuat diagnosis tentang masalah kulit dihadapinya ketika berpindah ke Kuala Lumpur disebabkan masalah itu semakin teruk.

"Doktor mengesahkan saya mengalami masalah kulit dikenali sebagai dermatitis atopik dan usaha memulihkan keadaan saya adalah mimpi ngeri.

"Saya sampai mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan mengambil masa untuk memulihkan diri serta belajar menguruskan dermatitis apotik dan ia bukan kerja mudah," katanya.

Meskipun hampir berputus asa, namun rawatan biologik yang diterimanya mula menampakkan hasil dan kini dia sudah mampu berhadapan dengan masyarakat dengan yakin selain melakukan perkara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Dato' Dr Noor Zalmy Azizan_Consultant Dermatologist & President of Dermatological Society of Malaysia

Pakar Perunding Dermatologi dan Presiden Persatuan Dermatologi Malaysia, Datuk Dr Noor Zalmy Azizan.

Ramai pandang serong tentang masalah kulit

Sementara itu, laporan 'Dermatitis Atopik di Malaysia: Bukan Sekadar Masalah Kulit' mendedahkan masalah keradangan kulit kronik ini sering dipandang serong akibat ramai tidak memahami tentang masalah itu.

Bagi pesakit yang mengalaminya itu, salah faham tentangnya membuatkan mereka lewat melakukan diagnosis dan menguruskan penyakit tersebut.

Pakar Perunding Dermatologi dan Presiden Persatuan Dermatologi Malaysia, Datuk Dr Noor Zalmy Azizan berkata, kempen meningkatkan kesedaran pesakit dan masyarakat amat penting kerana salah faham mengenai masalah kulit itu akan menghalang pesakit mendapatkan nasihat dan rawatan perubatan.

Atas sebab itu, sempena Hari Dermatitis Atopik Sedunia yang disambut pada 14 September oleh Persatuan Dermatologi Malaysia (PDM) dengan kerjasama artis komik pemenang anugerah Erica Eng dan Persatuan Ekzema Malaysia, kempen #UncoverLife - Dermatitis Atopik, Bukan Sekadar Masalah Kulit dilancarkan.

Erica

Erica artis komik yang turut mengalami masalah kulit.

"Bagi membantu melenyapkan fakta yang salah mengenai dermatitis atopik dan menjelaskan liku-liku yang dilalui pesakit, kami bekerjasama dengan artis Malaysia Erica Eng untuk membangunkan siri komik web supaya orang boleh melihat dermatitis atopik daripada perspektif pesakit.

"Dengan mempersembahkan masalah ini dalam medium visual dan mudah difahami, kami berharap lebih ramai pesakit akan mendapatkan diagnosis dan rawatan yang tepat supaya mereka boleh menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan sokongan dari orang lain," ujarnya.

Siri komik papar kisah pesakit dermatitis atopik

Siri komik web ini memaparkan kisah, dugaan, kesengsaraan dan kejayaan tiga pesakit dermatitis atopik iaitu Shomendra, Elaine, dan Iris tentang perjalanan peribadi mereka menangani cabaran fizikal, emosi dan sosial dalam menguruskan masalah itu.

Erica Eng menjelaskan menghasilkan komik itu sangat dekat di hatinya memandangkan dia sendiri pernah mengalami dermatitis atopik.

"Saya tahu bagaimana rasanya - ketidakselesaan, kegatalan, tidak boleh tidur, semua kesukarannya. Pada mulanya, saya tidak tahu langsung mengenainya, dan alangkah leganya apabila didiagnos, jadi saya tahu apa yang perlu dilakukan.

Dr Peter Chng_Consultant Dermatologist & EXCO Member of Dermatological Society of Malaysia

Pakar Perunding Dermatologi dan Pengerusi Lembaga Dermatologi Kosmetik & Perubatan Laser, Dr Peter Ch'ng Wee Beng.

"Pengalaman saya itu membolehkan saya berasa empati dengan pesakit yang kisahnya dipaparkan dalam komik web, dan saya berbesar hati dapat membantu menyebarkan kesedaran mengenai dermatitis atopik di samping berkongsi suara hati pesakit menjalani kehidupan bersama penyakit ini dan bagaimana ia memberi kesan kepada mereka," ujarnya.

Erica berharap orang ramai yang membaca komik itu akan lebih memahami perasaan pesakit dan cabaran yang dihadapi.

Sokongan terhadap pesakit penting

Sementara itu, Pakar Perunding Dermatologi dan Pengerusi Lembaga Dermatologi Kosmetik & Perubatan Laser, Dr Peter Ch'ng Wee Beng berkata, lebih 20 peratus kanak-kanak di Malaysia turut terkesan dengan dermatitis atopik dan ramai yang terus mengalami gejalanya sehingga dewasa.

"Walaupun prevalens sebenar tidak diketahui kerana ramai pesakit masih belum didiagnos, tetapi kita tahu bahawa dermatitis atopik mempengaruhi pesakit dalam pelbagai keadaan, daripada penampilan fizikal kepada kesihatan mental mereka, bahkan ia juga memberi kesan kepada keupayaan mereka untuk belajar dan bekerja.

"Bagaimanapun, kebanyakan orang tidak faham beban individu yang hidup dengan dermatitis atopik,” katanya.

Dr Leong Kin Fon_Consultant Dermatologist

Pakar Perunding Dermatologi Paediatrik, Dr Leong Kin Fon.

Dr Ch'ng berkata selain tanda-tanda jelas seperti kulit kering, mengelupas atau kelihatan bersisik yang mengundang renungan orang, dermatitis atopik juga menyebabkan kegatalan melampau yang sukar untuk tidak mengendahkannya dan ia membuatkan pesakit tidak boleh tidur nyenyak.

Manakala pada mereka yang mengalami masalah kulit merekah pada tangan dan kaki, untuk melakukan rutin harian yang asas juga sangat mencabar.

Atas sebab itu, rangkaian kumpulan sokongan pesakit sangat penting untuk memberi sokongan emosi dan psikologi dalam menangani isu seperti kesunyian dan stigma sosial.

"Banyak nasihat yang berniat baik adalah berdasarkan mitos sehingga ramai pesakit masih diberitahu bahawa dermatitis atopik hanyalah masalah kulit yang biasa yang mudah disembuhkan dengan pelbagai penawar atau mereka dilayan seperti orang terbuang kerana ada pihak percaya ia boleh berjangkit atau disebabkan kurang menjaga kebersihan.

"Ini memberi kesan besar kepada kesihatan mental pesakit,” jelas Pakar Perunding Dermatologi Paediatrik, Dr Leong Kin Fon.

Untuk mengetahui lebih banyak tentang dermatitis atopik dan kisah bekas pesakit, layari laman web #UncoverLife.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain