suria

Pakar psikologi kongsi tip berdepan individu mempunyai kecenderungan bunuh diri

Seseorang yang memiliki kecenderungan membunuh diri boleh dibantu.

SEJAK pandemik berlaku banyak dilaporkan mengenai kes bunuh diri yang disebabkan tekanan melampau akibat masalah keluarga, kehilangan pekerjaan dan sebagainya.

Pakar psikologi klinikal Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Shazrina Sabri menjelaskan terdapat pelbagai sebab yang membuatkan seseorang terfikir untuk membunuh diri dan bercakap tentang pemikiran mereka dapat membantu mengelakkan mereka daripada mengambil nyawa sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai takut dibedah, kononnya vaksin Covid-19 beri reaksi negatif kepada prosedur anestesia... Ini penjelasan pakar

Bersempena dengan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia yang diadakan pada 10 September, Shazrina berkongsi beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk membantu mereka yang mengalami kecenderungan bunuh diri disebabkan kemurungan dan masalah mental lain.

SHAZRINA SABRI KPJ AMPANG PUTERI SPECIALIST HOSPITAL

Shazrina berkongsi pelbagai tip bagi membantu mereka yang mengalami kecenderungan membunuh diri.

1. Pilih masa dan tempat di mana anda boleh bercakap dengan mereka secara terbuka dan mudah tanpa gangguan. Mungkin semasa anda melakukan sesuatu bersama, semasa anda berjalan-jalan, bahkan semasa memandu.

Sekiranya anda melihat seseorang bercakap mengenai bunuh diri secara dalam talian, hantar mesej kepada mereka secara peribadi dan jangan kongsikan luahan mereka di media sosial.

2. Mulakan perbualan dengan mereka dengan bertanya soalan-soalan berikut:

a. Apa khabar?

b. Saya mengalami minggu yang menenatkan, bagaimana pula dengan anda?

c. Adakah semuanya baik-baik saja di rumah/ tempat kerja/ sekolah?

"Pastikan anda menunjukkan keprihatinan yang tulus terhadap mereka dan dengar luahan mereka tanpa penilaian," katanya.

Helping People with Depression

Bertanya khabar boleh membantu individu yang mempunyai masalah.

3. Setelah anda rasakan mereka telah mula mempunyai rasa percaya kepada anda, anda boleh bertanya secara berterus-terang “adakah anda berfikir untuk membunuh diri?” dan jika mereka mengatakan "ya", anda boleh memberikan respons seperti berikut:

a. Ucapkan terima kasih kerana mempercayai anda dan berkongsi dengan anda

b. Yakinkan mereka bahawa anda akan sentiasa berada di sisi agar mereka tidak rasa bersendirian

c. Beritahu mereka bahawa ada orang lain juga mempunyai perasaan yang sama dan mereka tidak bersendirian.

d. Beri mereka sumber bantuan untuk pencegahan bunuh diri seperti menelefon hotline bantuan

e. Bimbing mereka untuk mendapatkan pertolongan dari pakar kesihatan mental

"Mereka mungkin memerlukan masa untuk bercakap dengan seseorang, jadi jika mereka tidak bersedia untuk mendapatkan bantuan profesional, yakinkan mereka bahawa mereka tidak bersendirian dan bimbing mereka untuk mengakses maklumat pertolongan diri secara dalam talian," jelasnya.

4. Anda juga harus mengetahui apakah mereka telah membuat sebarang perancangan (untuk membunuh diri). Ini penting kerana orang yang telah membuat perancangan adalah lebih berisiko.

Sekiranya anda merasakan bahawa mereka berisiko atau mereka mengatakan bahawa mereka tidak merasa selamat, sila bawa mereka ke unit kecemasan dengan segera.

Anda juga dapat membantu mereka membuat rancangan krisis/ keselamatan yang terdiri daripada siapa yang harus mereka hubungi dan apa yang harus mereka lakukan dalam situasi krisis.

680693460

Setiap masalah ada jalan keluarnya.

5. Berikut pula adalah beberapa perkara yang tidak boleh dilakukan:

a. Jangan cuba katakan kepada mereka bahawa bunuh diri akan menyakitkan perasaan orang yang mereka sayangi.

b. Jangan cuba menyelesaikan masalah mereka. Sentiasa dengar dengan penuh rasa empati dan tidak menunding jari.

c. Jangan anggap mereka sebagai seseorang yang "mencari perhatian" – pandang serius luahan mereka dan akui perasaan mereka.

d. Jangan cuba mencari jalan keluar yang mudah dengan meminta mereka bersikap ceria atau bersikap positif. Ini akan menunjukkan bahawa anda menafikan perasaan mereka.

"Seseorang yang memikirkan tentang bunuh diri mungkin berasa terpencil dan putus asa. Jadilah orang yang mendengar tanpa spekulasi dan bantu mereka mendapatkan sokongan dan bantuan yang mereka perlukan," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain