suria

Sebelah pihak minta putus, apa hukumnya? UAI jawab kekeliruan pasangan bertunang

Pertunangan adalah ikatan janji antara pasangan untuk bernikah. -Gambar hiasan

PERTUNANGAN merupakan satu janji awal antara dua individu yang berhasrat untuk mendirikan rumah tangga. 

Apabila terjalin ikatan pertunangan, ia menjadi fasa perkenalan yang lebih serius kerana melibatkan perbincangan antara keluarga dan lazimnya dilihat sebagai persediaan awal sebelum melangsungkan akad nikah.

Dalam masyarakat, pertunangan sering dianggap sebagai simbol komitmen. 

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada hijab... Ini 4 doa termaktub dalam al-Quran sebagai panduan untuk orang dizalimi, ditimpa musibah

Namun hakikatnya, ikatan ini belum lagi menjadikan pasangan tersebut sebagai suami isteri di sisi syarak. 

Oleh itu, walaupun ia membawa harapan dan perancangan masa depan, pertunangan tidak mempunyai kekuatan hukum seperti perkahwinan.

Kadangkala, berlaku perkara yang tidak dijangka ketika tempoh pertunangan yang menyebabkan salah satu pihak terpaksa memutuskan pertunangan walaupun ia pahit dan mengecewakan.

Jadi, apakah hukum memutuskan pertunangan dalam Islam?

Persoalan berkenaan dijawab dengan tuntas oleh pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus menerusi perkongsiannya di laman Facebook.

Tempoh bertunang dikatakan tempoh di mana pasangan sering diuji. -Gambar hiasan

"Bertunang adalah janji yang dibuat oleh kedua belah pihak dan jika salah satu pihak sama ada lelaki atau perempuan melihat ada maslahat (kebaikan) untuk memutuskan pertunangan, maka harus dia putuskannya. Begitu juga kalau dia melihat berlaku mudarat jika diteruskan perkahwinan," tulisnya.

Pendakwah berkenaan menyertakan pandangan majoriti ulama sebagaimana yang dinukilkan dalam dua kitab iaitu:

Kitab Al-Fiqh Al-Islami

"Telah berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili, maksudnya, 'pada pendapat majoriti fuqahak adalah harus bagi yang meminang atau yang dipinang berpaling dari meneruskan pertunangan kerana sungguhnya pada bertunang itu belum ada akad maka belum ada suatu kewajipan akan tetapi sebagai menjalani adab yang baik janganlah salah satu dari kedua belah pihak melanggar janjinya melainkan kerana darurah atau hajat yang bersangatan kerana meraikan kehurmatan satu keluarga dan kemuliaan pihak perempuan.' 

Kitab Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyyah

"Hukum memutuskan pertunangan: 'ulama Mazhab Syafie dan Hanbali berpendapat bahawasanya pertunangan bukanlah akad di sisi syarak bahkan ia hanyalah suatu janji. Dan sekalipun ia dianggap sebagai akad, maka bukanlah pertunangan itu memestikan berkahwin bahkan harus dari kedua belah pihak dan tidak dimakruhkan bagi wali memutuskan pertunangan apabila melihat maslahat bagi yang dipinang pada yang demikian itu kerana sungguhnya hak bagi perempuan yang dipinang itu dan wali menjadi pengganti pada melihat maslahat padanya. Maka tidak makruh bagi perempuan itu memutuskan pertunangan yang dia nampak ada masalahat padanya'.

Kesimpulannya, keputusan memutuskan pertunangan bukanlah sesuatu yang mudah atau ringan, namun ia mungkin lebih baik daripada meneruskan perkahwinan yang berisiko membawa kepada penderitaan di kemudian hari. 

Islam sebagai agama yang mementingkan hikmah dan kesejahteraan umat sentiasa membuka ruang untuk keputusan yang berpaksikan maslahat.

Artikel Lain