suria

Nasab anak bukan bahan gurauan... Perkahwinan boleh terbubar gara-gara tuduh isteri berzina!

Tuduhan zina boleh membubarkan perkahwinan. -Gambar hiasan

SEJAK 20 Mei lalu, tular di media sosial tentang kisah seorang wanita yang dituduh melakukan zina oleh suaminya sendiri.

Menurut wanita terbabit, suaminya secara bergurau menyatakan bayi yang dikandung bukanlah anaknya.

Meskipun ia dinyatakan dalam nada gurauan, namun tuduhan berzina di hadapan rakan-rakan mereka itu adalah perkara berat dan boleh menjadi dosa besar.

Memetik kenyataan daripada laman sesawang Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan, suami yang tidak mengakui atau menolak anak yang dikandung isterinya boleh menyebabkan berlakunya li'an.

Li'an menurut istilah fikah (hukum syarak) ialah sumpah seorang suami apabila dia menuduh isterinya melakukan zina.

Sumpah itu diucapkan sebanyak empat kali, bahawa tuduhan itu benar dan pada sumpah yang kelima ia meminta kutukan daripada Allah s.w.t. sekiranya ia berdusta.

Li’an daripada segi bahasa pula ialah menghalau dan menjauhkan manakala daripada segi istilah ialah beberapa perkataan tertentu yang digunakan sebagai hujah oleh orang yang terpaksa menuduh orang yang mencemarkan tempat tidurnya dan memberi malu kepadanya sebagai berzina.

Penceraian adalah jalan terakhir dalam perkahwinan. -Gambar hiasan

Penceraian adalah jalan terakhir dalam perkahwinan. -Gambar hiasan

Sementara itu menjelaskan lanjut tentang kisah viral berkenaan, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi maktabah al-bakri berkata, tuduhan li'an yang dibuat boleh membubarkan perkahwinan.

Li’an berasal daripada kalimah arab yang membawa maksud buang dan menjauhkan.

Sementara daripada segi syarak, li’an bermaksud perkataan-perkataan yang dijadikan hujah oleh suami yang terpaksa menuduh isterinya kerana mencemari rumah tangga dan menyebabkan aib kepada suami.

Perkataan tertentu ini dinamakan li’an kerana ia mengandungi perkataan al-La’nu.

Begitu juga kerana suami isteri yang berli’an akan berjauhan antara satu sama lain. (Lihat Fiqh al Manhaji, 4/150)

Menjawab bagi persoalan di atas, kami katakan terbubarnya ikatan perkahwinan antara suami dan isteri disebabkan tuduhan zina yang dilontarkan suami atau suami menafikan zuriat dan mereka berdua telah selesai melafazkan li’an di hadapan hakim.

Pasangan yang bersumpah li'an tidak boleh kembali berkahwin. -Gambar hiasan

Pasangan yang bersumpah li'an tidak boleh kembali berkahwin. -Gambar hiasan

Ini juga merupakan pandangan Jumhur Ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali.

Diriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW berkata kepada dua orang yang saling melaknat: "Hisab kalian ada pada Allah, salah seorang di antara kalian berdusta. Engkau tidak memiliki kekuasaan atas dirinya". Riwayat Abu Daud(2257)

Dalam riwayat lain yang diriwayatkan juga daripada Ibn Umar beliau berkata: "Nabi SAW pernah meli’an antara seorang lelaki dengan wanita Ansar lalu beliau memisahkan antara kedua-duanya". Riwayat Bukhari(5314) dan Muslim (1494)

Ibn Hajar al-Haitami menyatakan: Terbubarnya ikatan perkahwinan dan diharamkan baginya berkahwin untuk selama-lamanya sekiranya dia meli’an isterinya walaupun dia menipu tentang hal tersebut, dilepaskan daripada hukuman hudud dan dikenakan hukuman ke atas isterinya. (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm.251)

Justeru setelah meneliti pandangan para fuqaha, kami katakan sesiapa yang melakukan li'an (sumpah laknat) maka terbubarlah ikatan perkahwinan.

Proses li'an ini hendaklah dilakukan di hadapan hakim dan disaksikan khalayak ramai kemudian hakim akan membubarkan perkahwinan tersebut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain