Rahsia kejayaan Rizman Ruzaini terbongkar... yakin zakat mampu kikis rasa cintakan harta dunia, elak jadi bakhil

Rizman Ruzaini mengecap pelbagai kejayaan sebagai sebuah jenama fesyen terkenal di Malaysia. Foto Instagram @rizmanruzaini

JENAMA Rizman Ruzaini tidak asing lagi dalam kalangan penggemar fesyen, malah ia telah menjadi salah satu nama yang cukup besar dalam industri fesyen di negara ini.

Maka tidak hairan ia menjadi pilihan selebriti terkenal untuk menyarungkan rekaan mereka seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nur Fazura, Ziana Zain dan sebagainya bagi menghadiri acara hiburan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai artis tanya macam mana Nabil murah rezeki? Tak abai berzakat rahsianya

Namun di sebalik pelbagai kejayaan dikecapi oleh dua pengasasnya iaitu Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil mencungkil amalan yang dilakukan saban tahun iaitu tidak culas membayar zakat.

Dalam rezeki kita, ada bahagian orang lain

Ruzaini memberitahu sejak di awal pembabitan mereka dalam dunia fesyen, dia dan Rizman akan sentiasa memastikan menunaikan rukun Islam ketiga itu.

Kata Ruzaini, perkara itu sangat dititikberatkan bukan sahaja kerana ia adalah rukun Islam tetapi atas kesedaran untuk memastikan mereka sentiasa berpijak di bumi yang nyata.



Ruzaini (kiri) dan Rizman bersama Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff.

"Secara peribadi amalan berzakat ini bukan sahaja wajib pada umat Islam tetapi ia berupaya mengikis rasa cintakan harta di dunia, menghindari diri kita menjadi seorang yang bakhil serta lebih prihatian terhadap kesusahan orang lain.

"Kami sentiasa percaya, dalam rezeki yang Allah bagi kepada Rizman Ruzaini, ia sebenarnya turut terselit bahagian orang lain dan InsyaAllah, Allah akan lipat gandakan rezeki kita," katanya.

Ruzaini ditemui pada majlis pelancaran kempen Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB), Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) baru-baru ini.

Rasai nikmat bayar zakat ketika pandemik

Dalam pada itu, Ruzaini memberitahu pihaknya sendiri dapat merasai kenikmatan yang diberikan Allah apabila rezeki mereka dalam bidang perniagaan dipermudahkan meskipun ketika ini banyak perusahaan mengalami masalah akibat pandemik Covid-19.

"Sebelum ini mungkin kami tidak nampak kenikmatannya, namun amalan membayar zakat ini sebenarnya memberi banyak manfaat tanpa kita sedari.

Secara peribadi amalan berzakat ini bukan sahaja wajib pada umat Islam tetapi ia berupaya mengikis rasa cintakan harta di dunia, menghindari diri kita menjadi seorang yang bakhil serta lebih prihatian terhadap kesusahan orang lain.

RUZAINI JALIL

PEREKA FESYEN

"Seperti sekarang, ramai yang terkesan akibat Covid-19 namun Alhamdulillah Rizman Ruzaini masih dapat bertahan malah kami dapat menambah bilangan kaki tangan... Betapa besarnya perancangan Allah," katanya.

Tidak hanya membayar zakat untuk diri sendiri, Rizman pula memberitahu syarikatnya juga turut mengadakan skim pemotongan zakat bulanan kepada semua kaki tangannya di Rizman Ruzaini bagi memudahkan agar tiada yang terlupa melunaskan tanggungjawab itu.

Atas dasar itu juga kata Rizman, kempen yang diperkenalkan oleh PPZ-MAIWP cukup bermanfaat kerana ia bukan sahaja membolehkan kita melunaskan zakat tetapi memudahkan urusan tanpa perlu ke kaunter.

"Saya dan Ruzaini sendiri sudah buat pemotongan zakat menerusi gaji sejak beberapa tahun lalu dan Alhamdulillah kini semua staff di Rizman Ruzaini juga kami lakukan perkara sama.

"Kempen diperkenalkan PPZ ini adalah usaha yang baik, maklum sahaja kadang-kadang kita sibuk dengan hal lain sampai terlupa untuk membayar zakat. Jadi potongan bulanan ini sangat memudahkan," ujarnya.

Sebagai seorang majikan, Rizman juga sangat mengalakkan semua usahawan atau syarikat mengambil kesempatan kempen ini untuk mendaftar dan mengalakkan kaki tangan mereka membayar zakat secara potongan bulanan.



PPZ-MAIWP melancarkan Skim PZB bagi membayar zakat secara potongan bulanan.

Lebih mudah, tidak membebankan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, pihaknya mempelawa umat Islam khususnya kakitangan kerajaan dan swasta mendaftar untuk menbayar zakat pendapatan melalui Skim PZB yang dibuka bermula 1 Ogos hingga 31 November ini.

Jelas Ahmad Shukri, kaedah itu lebih mudah dan tidak membebankan serta mengalakkan pembayar zakat sedia ada menambah jumlah bayaran mereka.

"Kami di PPZ-MAIWP akan sentiasa bergerak untuk menyediakan saluran bayaran zakat yang lebih mesra pelanggan mengikut kehendak umum agar tiada lagi alasan untuk tidak menunaikan kewajipan zakat.

"Kami akan berusaha untuk memperkemaskan sistem dan kemudahan dari semasa ke semasa," katanya.

Ahmad Shukri berkata pihaknya turut menawarkan empat komputer riba, 40 kad petrol, 40 helai telekung eksklusif dan 100 baucar beli-belah khas kepada mereka yang bertuah.

Orang ramai boleh menyertai Skim PZB secara dalam talian melalui laman sesawang ptg.zakat.com.my atau mendaftar secara manual di kaunter PPZ-MAIWP di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, kaunter bergerak atau majikan.

Ahmad Shukri juga berkata jumlah kutipan zakat PPZ-MAIWP dari Januari hingga akhir Julai tahun ini ialah sebanyak RM404 juta, meningkat sembilan peratus berbanding RM372 juta bagi tempoh sama pada 2019.

Beliau berkata bagi tempoh itu juga, jumlah pembayar zakat turut meningkat 95 peratus dengan seramai 345,000 orang direkodkan berbanding 177,000 pada tahun sebelumnya.

Katanya sepanjang tahun lepas, PPZ-MAIWP mengutip zakat berjumlah RM683 juta dan pada tahun ini, menyasarkan kutipan kira-kira RM690 juta hingga RM700 juta.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Rizman Ruzaini, PPZ-MAIWP, Skim PZB

Artikel Berkaitan

Artikel Lain