suria

Anda buat sembelihan wajib atau sunat? Ini yang perlu difahami betul-betul tentang pembahagian daging korban

Sesungguhnya ibadah korban merupakan kaedah terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah sebagaimana ibadat solat.

KORBAN secara amnya bermaksud melakukan atau melepaskan sesuatu demi mendapatkan sesuatu yang lain dikehendaki.

Korban Aidiladha pula mempunyai pengertian lebih khusus iaitu menyembelih ternakan tertentu dengan niat taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah pada masa-masa tertentu.

Sesungguhnya ibadah korban merupakan kaedah terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah sebagaimana ibadat solat. Ibadah korban juga dapat menjadi salah satu ukuran takwa seorang hamba kepada Yang Maha Esa.

ARTIKEL BERKAITAN: Fakta ringkas... aqiqah dan korban, yang mana didahulukan?

Ini berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 27 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang yang bertakwa."

Dalam Surah Al Hajj pula ayat 37: Daging unta dan darahnya itu tidak akan sesekali dapat mencapai (keredaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya.



Ibadah korban juga dapat menjadi salah satu ukuran takwa seorang hamba kepada Yang Maha Esa.

Pembahagian Daging Korban

Pembahagian daging korban terbahagi kepada dua jenis iaitu sembelihan korban wajib (nazar) dan sembelihan sunat seperti yang berikut:

1. Pembahagian daging korban wajib atau nazar

Wajib semua dagingnya termasuk kulit dan tanduk disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin. Haram bagi pihak yang berkorban dan ahli keluarga di bawah tanggungannya ambil walaupun sedikit.

Sekiranya seseorang itu telah memakan sebahagian daripadanya maka hendaklah dia mengeluarkan sejumlah wang mengikut kadar yang telah dimakan tadi.

Bagaimanapun, tidak perlu untuk dia menyembelih lagi haiwan yang lain sebagai ganti kepada bahagian yang telah dimakan tersebut.



Terdapat beberapa pembahagian daging korban dalam Islam yang perlu difahami.

2. Pembahagian daging korban sunat; Menurut pandangan ulama Mazhab Syafie

(i) 1/3 untuk dimakan oleh pihak yang berkorban dan ahli keluarganya;

(ii) 1/3 untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin;

(iii) 1/3 untuk dihadiahkan kepada sahabat handai termasuk orang kaya atau jiran-jiran.

Yang paling afdal menurut pandangan ulama Mazhab Syafie ialah bersedekah semuanya kecuali beberapa ketul atau suapan yang agak berpatutan dimakan oleh orang yang berkorban untuk mengambil berkat seperti sebahagian hati kerana ianya sunat dimakan.

Amalan ini pernah dilakukan oleh Rasulullah ketika Baginda melakukan korban.



Pembahagian daging korban terbahagi kepada dua jenis iaitu sembelihan korban wajib (nazar) dan sembelihan sunat.

Pemberian Daging Korban Kepada Bukan Islam

Pemberian daging korban kepada orang bukan Islam tidaklah menjadi masalah khususnya kepada mereka yang tergolong dalam kalangan fakir miskin.

Apa yang menjadi khilaf adalah mengagihkan hasil korban kepada fakir miskin dalam kalangan bukan Islam.

Ulama' berbeza pandangan terhadap isu ini dan wujud beberapa pandangan seperti pandangan Imam Abu Hanifah yang membolehkan dengan syarat mereka itu fakir miskin.

Adapun pandangan Mazhab Hanbali hukumnya harus dihadiahkan kepada bukan Islam jika ia merupakan ibadah korban sunat dan jika ibadah korban wajib maka tidak diharuskan.

Dalam Mazhab Syafie pula pendapat yang paling masyhur ialah tidak dibolehkan kerana ibadah korban adalah ketaatan untuk mendekatkan diri kepada Allah.



Mudah-mudahan ibadah korban yang kita lakukan ini mendapat reda Allah serta menjadikan kita hamba yang sentiasa mensyukuri nikmat-Nya.

Malaysia merupakan negara yang wujud di dalamnya masyarakat berbilang kaum, bangsa dan agama. Maka sudah pasti faktor ini menatijahkan sedikit sebanyak beberapa masalah hukum terkesan. Salah satunya ialah pemberian daging korban kepada bukan Islam.

Sebahagian ulama di Malaysia bertegas untuk cenderung kepada tidak diberikan kepada golongan fakir miskin dari kalangan bukan Islam dan sebahagian lagi lebih kepada membenarkan pemberian atas faktor tadi.

Maka untuk keluar daripada permasalahan ini pihak masjid bolehlah mengambil satu jalan yang mana mereka keluarkan sedikit duit daripada tabung masjid untuk membeli beberapa bahagian lembu yang bukan diniatkan untuk ibadah korban.

Lalu sedekahkan kepada mereka yang fakir dan miskin dari kalangan bukan Islam bagi menjaga kerharmonian serta menunjukkan sifat kasih sayang dalam agama Islam.

Ini berdasarkan hadis yang mengisyaratkan agar berbuat baik kepada jiran meskipun mereka bukan dari kalangan orang Islam.

Ia adalah sebuah hadis daripada Abdullah bin ‘Amr al-‘As R.Anhuma yang mana telah menyembelih seekor kambing buat ahli keluarganya lalu beliau berkata: Adakah kamu telah menghadiahkan (daging tersebut) kepada jiran kita Yahudi? (beliau menanyakannya sebanyak dua kali) kerana sesungguhnya aku telah mendengar Baginda Rasulullah telah bersabda: Sentiasalah Jibril mewasiatkan kepadaku (berbuat baik) kepada jiran (dengan baik dan sopan) sehingga aku menyangka bahawa Jibril mengarahkan daripada Allah agar menjadikan mereka sebagai pewaris. [HR Abu Daud 5152]

Mudah-mudahan ibadah korban yang kita lakukan ini mendapat reda Allah serta menjadikan kita hamba yang sentiasa mensyukuri nikmat-Nya.

Selain itu, pada hari akhirat kelak binatang yang kita korbankan akan menjadi saksi terhadap amalan ketaatan yang telah dilaksanakan.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Aidiladha, korban, gaging, Islam, Addin, pembahagian

Artikel Lain