suria

CTOS SME Biz Day 2025 bakal perkasa PKS Sarawak 

Lebih 1,000 PKS terlibat dalam CTOS SME Biz Day yang diadakan di Kuala Lumpur pada tahun ini.

BUAT julung kalinya, CTOS SME Biz Day akan dianjurkan di Malaysia Timur, dengan Kuching menjadi lokasi pilihan dalam usaha memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sarawak. 

Acara yang dijadualkan berlangsung pada 19 Ogos 2025 di Hotel Imperial Kuching (Boulevard Mall) ini dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan dan ketahanan perniagaan di rantau ini.

Penganjuran ini seiring dengan aspirasi Sarawak di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 yang menyasarkan pendigitalan 80 peratus PKS menjelang 2030, dengan impak ekonomi dianggarkan mencecah RM56.4 bilion kepada Keluaran dalam negeri kasar (KDNK). 

Kehadiran lebih 74,000 PKS di seluruh negeri menjadikan CTOS SME Biz Day satu inisiatif yang tepat pada waktunya dalam menyokong transformasi digital dan pertumbuhan sektor ini.

CTOS menerusi inisiatif ini komited untuk membantu PKS menghadapi pelbagai cabaran termasuk isu pendanaan, kelemahan kemahiran digital, serta kekangan memahami garis panduan perniagaan yang kompleks. 

Acara ini akan menawarkan bimbingan daripada pakar industri, pendedahan kepada geran kerajaan dan latihan pembangunan perniagaan, selain membuka ruang jaringan dengan agensi utama.

Antaranya Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK),  Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan SME Corp.

SME Corp antara pakar industri yang terbabit dalam memberi bimbingan kepada PKS.SME Corp antara pakar industri yang terlibat dalam memberi bimbingan kepada PKS.

Menurut Ketua Pegawai Operasi CTOS Data Systems Sdn Bhd, Lee Shin Mei, Kuching kini muncul sebagai hab perniagaan yang pesat berkembang.

"Penganjuran SME Biz Day di sini mencerminkan komitmen kami untuk menyokong pertumbuhan di wilayah yang strategik ini. 

"Dari Kuala Lumpur, ke Pulau Pinang, Johor dan kini di Sarawak, CTOS terus bekerjasama dengan rakan-rakan strategik demi membina ekosistem PKS yang berdaya tahan dan bersedia untuk cabaran masa depan," katanya.

Antara pengisian menarik acara termasuk sesi panel bertajuk Semua yang Anda Perlu Tahu Mengenai e-Invois yang akan memberikan pencerahan kepada usahawan mengenai pelaksanaan sistem invois elektronik oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Serta Belajar daripada Usahawan Berjaya yang Bermula dari Bawah yang menampilkan kisah inspirasi pengasas tempatan seperti Luckin Coffee Malaysia, MadebyAnjoe, Poh Sin Studio dan Malaysia SME Media Group.

Turut serta ialah pelbagai penyedia penyelesaian digital seperti AutoCount, MOCHI Technologies, Pos Malaysia, TecD – Microsoft, Unifi Business dan lain-lain, yang akan memperkenalkan alat perniagaan terkini bagi membantu PKS beralih daripada operasi tradisional kepada model digital yang lebih kompetitif.

Selain itu, sesi perkongsian bersama penggubal dasar dan tokoh pemikir dari agensi berkaitan akan membincangkan isu-isu penting seperti strategi eksport, pelaksanaan ESG, integrasi AI dalam operasi perniagaan, serta pengurusan kesejahteraan kewangan pekerja melalui teknologi.

Dengan lebih 5,000 PKS dan usahawan telah mendapat manfaat daripada siri CTOS SME Biz Day yang dianjurkan sebelum ini di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.

Kuching kini menjadi destinasi seterusnya dalam misi memperkasa usahawan tempatan untuk mengadaptasi ekonomi digital yang kian berkembang.

Pendaftaran boleh dibuat melalui laman rasmi acara di ticketmelon.com. Untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian perniagaan CTOS bagi PKS, layari www.ctoscredit.com.my

 

 

Artikel Lain